Anak Angkat LINUS

Teks: Azlina Zabha
Foto: Azlina Zabha
Hari Isnin, sinonim dengan hari perhimpunan bagi setiap minggu persekolahan. Pagi tadi, sekolah saya mengadakan perhimpunan pagi. 
Secara rutinnya, ia dimulai dengan bacaan doa oleh pengawas yang bertugas, nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Melaka, dan Lagu Bacalah (tema lagu sekolah). Kami dikehendaki berdiri bersama-sama murid untuk turut menyanyikan lagu tersebut. Sejurus kemudian, kami mengangkat tangan di bahu, dan berikrar (sebagai rakyat Malaysia). Bila ikrar pelajar dilaungkan oleh pengawas, kami guru-guru duduk. 
Waktu ini, kami sama-sama memerhatikan murid-murid kami. Kebetulan murid kelas saya betul- betul di hadapan saya. Saya perlu berwajah serius di hadapan mereka, supaya mereka tahu bahawa kita perlu beri perhatian dan tidak bermain-main pada waktu perhimpunan.
Selepas perkara rutin tadi selesai, wakil guru bertugas pada minggu lepas akan memberikan ucapan. Pelbagai peringatan dan nasihat diberikan. Saya mendengar ucapan rakan saya. Kaedah reverse psychology digunakan. Pedas dan tegas nadanya. 
Habis sahaja wakil bertugas berucap, tiba giliran Ketua Panitia Bahasa Melayu pula berucap. Beliau memberitahu bahawa Jawatankuasa LINUS ada membuat Program Sinaran yang melibatkan semua guru Bahasa Malaysia. Setiap guru BM tersebut dijadikan Mentor kepada setiap murid LINUS Literasi (BM) dari Tahun 2 Arif, 2 Dedikasi dan 3 Dedikasi. 
Pencapaian kebanyakan daripada murid tersebut adalah berada di Konstruk 3 hingga Konstruk 10. Ini adalah hasil daripada Saringan 1 yang telah dijalankan beberapa bulan yang lalu. Secara ringkasnya, Program Sinaran diwujudkan sebagai program sokongan untuk mengatasi masalah murid yang tidak menguasai kontsruk 3 hingga 12.
Alhamdulillah, saya diberi tanggungjawab untuk memastikan anak angkat saya (tidak perlu saya nyatakan namanya di sini) dari Kelas 2 Arif untuk mencapai tahap menguasai kesemua konstruk. Semoga anak angkat saya dapat membaca dan menulis dengan baik selepas ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa itu LINUS, apa itu konstruk, bukan? 
Secara umumnya, Program LINUS dijalankan untuk murid Tahap 1, bagi memastikan semua murid boleh menulis dan membaca ( bagi LINUS LITERASI BM). Dengan adanya Program LINUS ini, kita sebagai guru BM (Literasi), Matematik (Numerasi), dan LINUS 2.0 (BI) lebih mengenali tahap anak murid kita. Sama ada dia sudah mengenal huruf atau tidak, sudah boleh mengeja dan menulis suku kata terbuka dan tertutup atau tidak, digraf, diftong, susun ayat dan bina ayat. 
Nanti saya akan tuliskan entri tentang konstruk-konstruk di dalam LINUS BM. 
Walaubagaimanapun, kerjasama ibu bapa amat kami harapkan bagi menjayakan Program LINUS ini. Sokongan daripada ibu bapa akan menjadikan anak lebih mudah dapat apa yang dipelajari.
Sampai di sini sahaja coretan saya buat masa ini. Salam ramadhan semua.

3 Replies to “Anak Angkat LINUS”

  1. Mazlen Johar – maklumat sekolah adalah rahsia. Hohoho.. poyo kan ayat tu. Hik hik.

    Mariatul Qiptiyah – hehe. Tu la.. kalau saya bukan dalam bidang perguruan sekolah rendah, mesti memang saya langsung taktau. Huhu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *