Idea Kemas Dapur

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Kartun diambil dari Spring Cleaning Challenge Day 13

Lebih kurang sama sahaja dengan situasi di rumah. Hehe.

Kami sekeluarga baru sahaja melakukan Spring Cleaning di dapur rumah. Sasaran utama kami ialah menyusun atur semula barang-barang mengikut kategorinya. Sebelum ini, kami hanya letakkannya di tempat yang senang untuk dicapai tanpa mementingkan kategori barangan tersebut.

Berikut merupakan perkara-perkara yang telah kami buat sepanjang sesi kemas dapur malam tadi :-

  1. Keluarkan semua barang-barang yang telah dimasukkan ke dalam kabinet.
  2. Kategorikan alatan memasak yang kerap digunakan dan yang jarang digunakan.
  3. Asingkan makanan dan minuman mengikut tarikh luput.
  4. Susun satu persatu barangan yang telah dikategorikan tadi mengikut keutamaan.
  5. Untuk barangan yang selalu digunakan, perlulah diletakkan di tempat yang mudah dicapai tetapi masih mengikut kategori.
Setelah siap kelima-lima langkah tersebut, kami memastikan persekitaran dapur kami bersih dan tiada sisa yang tertinggal. Tiada istilah “Penatlah, esok boleh sambung lagi…” Kami sudah memulakannya, jadi kami mesti melakukannya sampai kami puas dengan hasilnya. 
Jadi, kepada semua pembaca, sudahkah anda melakukan Spring Cleaning pada dapur rumah anda? Atau bahagian mana pun di dalam rumah anda?

Nurul’s Homemade Ice Cream

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Segala gambar Ais Krim diambil dari Facebook Facebook Nurul’s Homemade Ice Cream
Peta : Lukisan Azlina Binti Zabha

Chunky Funky Flavour

Nama Produk : Nurul’s Homemade Ice Cream
Laman Facebook : https://www.facebook.com/pages/Nuruls-Homemade-Ice-Cream/114495288615274
Alamat : Jalan KNMP 3, Kompleks Niaga Melaka Perdana, Bukit Katil, 75450 Melaka
Phone : 011-23290960
Email: nurulshomemadic@gmail.com
Laman Web : http://nurulshomemadeicecream.blogspot.com
Waktu Beroperasi : Isnin hingga Sabtu (11.00am – 7.00pm)

Kali ini, saya perkenalkan kepada kamu semua aiskrim keluaran tempatan, iaitu Nurul’s Homemade Ice Cream. Terdapat pelbagai perisa disediakan. Saya paling suka perisa Salted Caramel yang apabila dimasukkan ke mulut, rasanya seperti di awang-awangan. Manis dengan rasa karamel yang ada sentuhan rasa masin tapi sedap dan unik! Suami saya pula sukakan perisa Chunky Funky kerana dia sukakan teksturnya yang ada kandungan kacang.

Jika dibandingkan dengan aiskrim jenama Baskin Robin atau Ben N’ Jerry’s, saya lebih sukakan Nurul’s Homemade Ice Cream. Ia setanding dengan aiskrim import tersebut. Malah saya tidak rasa rugi jika beli aiskrim 1 pin dari Nurul’s Homemade Ice Cream walau ia berharga RM20. Pelanggan juga diberi pilihan untuk membeli aiskrim menggunakan cup, atau cone. Harganya sama, di bawah RM5.

Pelanggan juga diberi peluang untuk mencuba aiskrim yang pelbagai perisa secara percuma! Nurul’s Homemade Ice Cream sentiasa mecipta perisa-perisa baru yang membuatkan pelanggan tertawan dengan rasanya. Rugi jika anda tidak mencubanya.

Bukan itu sahaja, sekali-sekala Nurul’s Homemade Ice Cream ada membuat jualan murah untuk setiap aiskrim yang dijual. Potongan harga sebanyak 50% pernah ditawarkan kepada pelanggan-pelanggannya. Anda digalakkan sentiasa melihat perkembangan Nurul’s Homemade Ice Cream ini melalui laman Facebook yang saya paparkan di atas.

Selain itu juga, kadang-kadang Scoopworks Ice Cream Company (nama syarikat Nurul’s Homemade Ice Cream) ada membuka Bengkel Membongkar Rahsia Pembuatan Ais Krim yang diketuai oleh Rosdiadi Ramli iaitu pengasas Nurul’s Ice Cream tersebut. Ia terhad kepada 10 orang sahaja pada setiap kali bengkel diadakan.

Di manakah lokasi Nurul’s Homemade Ice Cream di Melaka? Di bawah ini saya ada paparkan lukisan peta dengan tangan saya sendiri, atau anda bolehlah gunakan alat GPS anda untuk ke sana dengan menggunakan Koordinat GPS 2.265250, 102.306030 .

Sampai di sini sahaja. Jika ada makanan lain yang sedap-sedap, saya akan kongsikannya di sini, insya Allah. 🙂

Pejabat Bergerak

Teks: Azlina Zabha
Gambar : Google Image’s Search

Ada sesetengah pekerjaan yang memerlukan seseorang itu bergerak ke sana ke mari dengan menggunakan kenderaan. Dalam suatu situasi, adalah perlu bagi pekerja, ahli perniagaan mahupun pelajar mencetak sesuatu bagi melancarkan pekerjaan mereka. Jika kawasan yang berdekatan mempunyai kemudahan Cyber Cafe atau mesin fotostat memanglah ia tidak jadi masalah. Namun, jika tiada langsung kemudahan tersebut, apa perlu kita buat?

Saya sarankan, apa kata anda ambil inisiatif untuk wujudkan pejabat bergerak di dalam kenderaan anda sendiri.

Berikut ialah keperluan asas yang perlu anda sediakan:-

1) Car Power Inverter


Gambar di atas menunjukkan pelbagai jenis Car Power Inverter. Ia membolehkan anda menghubungkan plug 3-pin pada sumber elektrik dalam kereta anda.

2) Printer / Pencetak 3 dalam 1

Printer 3 dalam 1 ini memudahkan anda mencetak, scan, dan juga fotostat dokumen atau gambar.

3) Komputer riba / laptop / notebook

Komputer riba terletaknya seribu satu dokumen yang berkaitan dengan pekerjaan anda. Rajinkanlah diri membawanya ke mana-mana supaya ia memudahkan lagi pekerjaan anda.

4) 3G / 4G Broadband Device

Peranti ini membolehkan anda melayari internet.

Semoga tips untuk pejabat bergerak ini membantu anda menyelesaikan tugasan anda dalam kadar segera.

Sampai jumpa lagi.

Rasulullah is my DOCTOR oleh Jerry D. Gray

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Azlina Zabha

Judul Buku : Rasulullah is my DOCTOR
Penulis : Jerry D. Gray
Terbitan : PTS Islamika Sdn. Bhd.
Terbitan Pertama : 2013
Harga : RM25.00 (Semenanjung Malaysia), RM27.00 (Sabah & Sarawak

Buku ini menyajikan cara pencegahan dan penyembuhan penyakit secara praktikal yang telah menjadi amalan Rasulullah s.a.w. Pelbagai resepi perubatan secara spiritual dan juga fizikal ditulis dalam buku ini.

Tidak ketinggalan juga, ada beberapa pengalaman penulis sendiri dalam mengubat beberapa penyakit yang dialami dan berjaya sembuh dikongsikan dalam buku tersebut. Penterjemahan yang telah dibuat dalam buku ini menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami serta senang diterima pembaca.

Ada beberapa bab dalam buku ini mengulas dan menerangkan apa kebaikan sesetengah buah-buahan dan sayur-sayuran. Bukan itu sahaja, ia disertakan dengan cara-cara menggunakan bahan mentah tersebut untuk merawat sesuatu penyakit. Ia termasuklah berapa dos yang diperlukan dalam penggunaan untuk merawat penyakit tersebut. Bahan mentah yang dimaksudkan di sini ialah seperti lidah buaya atau aloe vera, buluh (termasuk daun buluh), epal, sayuran jenis kekacang, lobak merah, ovacado dan banyak lagi.

Contohnya, buah epal. Ada ketikanya, jus epal boleh menjadikan kanak-kanak cirit-birit. Namun, apabila epal dikupas dan dipotong kecil-kecil, kemudian dibiarkan di tempat terbuka. Apabila ia sudah berubah warna menjadi coklat, ia bagus untuk melegakan cirit-birit yang ringan. Namun begitu, pada asasnya, epal membantu dalam mengurangkan kadar kolestrol, dan mengurangkan risiko penyakit kanser. Selain itu, ia tinggi serat, mengelakkan sembelit dan apabila mengamalkannya, dapat menahan selera makan.

Banyak lagi bahan mentah lain yang dihuraikan dalam buku ini, termasuklah penerangan secara terperinci tentang bahan mentah popular masa kini, iaitu Habatussaudah atau nama lainnya, Biji Jintan Hitam. Apa itu Biji Jintan Hitam, dan sejarahnya.

Selain itu juga, dalam buku ini ada diterangkan panduan untuk rawatan ruqyah.

Apa itu ruqyah? Dalam Islam, ruqyah adalah singkatan daripada perkataan ruqyah shari’ah. Ini adalah amalan Nabi Muhammad s.a.w dan orang  lain boleh mengamalkan ruqyah berdasarkan beberapa hadith shahih. Secara ringkasnya, ruqyah adalah pembacaan ayat-ayat Al-Quran ataupun berdoa kepada Allah s.w.t bagi menyembuhkan penyakit orang lain ataupun penyakit sendiri. (Oleh Jerry D. Gray dalam Rasulullah is my DOCTOR)

Berikut pula adalah salah satu keratan tulisan Jerry D. Gray yang menyebabkan saya benar-benar tersentuh.

Di sini saya coretkan sedikit mengenai penulis buku tersebut. Jerry D. Gray atau nama penuhnya Jerry Duane Gray merupakan anak kelahiran Weisbaden, Jerman. Kini beliau telah memeluk Islam dan aktif menjalankan aktiviti dakwah. Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di sebuah stesyen televisyen di Indonesia selama dua tahun.

Tidak rugi jika anda membeli buku ini. Saya sarankan anda belilah buku ini. Jika boleh, memang saya mahu menulis tentang buku ini dengan panjang lebar lagi, tapi adalah lebih baik jika anda nikmati sendiri isi-isi ilmiah dalam buku ini.

Sampai jumpa lagi.