Mandi Wajib Selepas Bersalin

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Warning cute baby alert melbourne baby photographer
Usia kandungan saya : 36 Minggu

Comel tak gambar bayi di atas? Ini adalah hasil tangan jurugambar bernama Kirsten Cook dari Melbourne. Beliau gemar mengambil gambar bayi. Kali ini, saya ingin berkongsi info tentang mandi wajib selepas bersalin, maka gambar ini menjadi pilihan untuk entri kali ini. 
Setiap kali kelahiran, mungkin ada yang terlupa, atau pun tidak berapa pasti tentang mandi wajib yang perlu dilakukan disebabkan faktor jarak hamil jauh dari kehamilan sebelumnya. Semoga info di bawah ini menjadikan kita lebih faham tentang mandi wajib selepas bersalin. Segala info di bawah ini adalah hasil rujukan saya dengan Ustazah Hanisah, rakan sejawat di sekolah saya.
Apakah perbezaan darah Wiladah dan darah Nifas?
Darah wiladah adalah darah yang keluar semasa ibu melahirkan anaknya. Jadi, selepas sahaja ibu selesai melahirkan anak, ibu wajib mandi hadas besar (mandi wajib). Jika ibu bersalin melalui kaedah pembedahan, lalukan air di tempat yang boleh dilakukan air sahaja, maksudnya, kawasan yang ditutup dengan plaster (tempat jahit) tidak perlu dibuka semasa mandi wajib dilakukan.
Darah nifas pula adalah darah yang keluar selepas melahirkan anak. Ia tidak sama dengan darah haid. Harap kita tidak keliru kerana kita perlu mandi wajib sebaik sahaja darah tidak keluar lagi. Jika kita sudah yakin yang darah nifas sudah berhenti keluar, maka kita sudah boleh untuk mandi wajib. Tiada had masa untuk darah nifas, tidak seperti darah haid. Selepas kita mandi wajib kerana keluar darah nifas, maka wajiblah kita solat lima waktu seperti biasa.
Bagaimanakah niat mandi wajib selepas bersalin (untuk darah wiladah dan darah nifas)?

Niat mandi wajib wiladah
“Sahaja aku mandi wajib wiladah kerana Allah Ta’ala.”
Niat mandi wajib nifas
“Sahaja aku mandi wajib nifas kerana Allah Ta’ala.”
Semoga info ringkas ini boleh dijadikan panduan untuk ibu-ibu yang masih keliru dengan mandi-mandi wajib yang perlu dilakukan selepas bersalin. Peringatan untuk diri saya juga. 
Selamat melahirkan bagi yang sedang mengandung atau hamil, dan selamat berpantang, ya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.