King Karipap

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Azlina Zabha

Popia Goreng, Popia Sambal, Popia Basah

Nama Gerai : King Karipap
Lokasi : Bertentangan dengan SK Seri Duyong, Permatang Duyong, Melaka
Makanan Pilihan : Popia Basah, Popia Sambal, Popia Goreng, Keledek Goreng, Karipap Sayur, Karipap Ayam, Karipap Sardin
Minuman Pilihan : Nescafe Ais, Kopi Ais

19 hari sudah berlalu. Saya masih ditahan di wad. Masih belum boleh balik ke rumah. Masih menanti kelahiran anak ke-2. Walau saya dirancang untuk bersalin melalui pembedahan, hati saya tetap berdebar menanti tarikh yang sudah ditetapkan itu.

Gambar di dalam telefon satu-satu saya belek. Mungkin ada sesuatu yang saya boleh kongsikan di blog Panduan Pengguna Kupas Kepis saya ini. Jadi, gambar di atas adalah gambar pilihan saya untuk entri kali ini.

Hari ini saya akan perkenalkan salah satu gerai yang terletaknya di kawasan Duyong, Melaka. Gerai ini bernama King Karipap, tapi saya agak keliru dengan namanya, sama ada King Karipap ataupun Karipap King. Lama benar sudah tidak menjejakkan kaki ke gerai ini.

Ia terletak betul-betul di hadapan SK Seri Duyong, Melaka. Lokasinya di seberang jalan utama. Ada disediakan juga meja dan kerusi untuk kita santai-santai berborak di situ, sambil menikmati makanan yang kita pilih. Tempat meletakkan kenderaan bagi pembeli agak terhad.

Pengunjung gerai ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada pembeli yang ingin cuba-cuba dahulu, ada juga yang sudah pun menjadi pelanggan tetap gerai ini. Saya dan suami adalah antara pelanggan tetap gerai ini.

Apa yang dijual di sini? Mestilah ada jual karipap, tapi saiznya agak besar daripada biasa. Harganya RM2.50 satu. Bila saya dan suami pergi ke sini, kami suka membeli popia basah dan juga keledek goreng. Rasanya sangat sedap dan menghampiri “perfect”. Harga untuk pelbagai jenis popia yang mereka jual ialah RM2.00 untuk tiga biji popia. Keledeknya pula, suami selalu beli RM2.00 untuk sejumlah kuantiti, ikut saiz keledek itu dipotong.

Bagaimana hendak ke sini? Jika kita bukan orang yang biasa dengan jalan di Melaka, kita boleh petakan GPS ke SK Seri Duyong, Melaka ataupun Shell Duyong Melaka. Landmark lain, mungkin boleh petakan ke Family Store Duyong, atau Perigi Hang Tuah.

2 Replies to “King Karipap”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *