Ulasan Kelas Asas Blog (Guru Online Khairunnisa Hamzahara)

Teks : Azlina Zabha
Imej : Blargon Get to Know the Key Terms of Blogging

Apabila ditanya, apa hobi saya? Saya akan pantas menjawab, “Blogging!”  Ya, jawapan paling pendek, blogging. Dari dulu hingga kini, jawapan masih tetap sama. Namun, masih relevankah ia dijadikan sebagai hobi?

Jika dulu, saya gemar menulis blog yang bersandarkan isi hati, dan apa yang ditulis di dalam blog, semuanya seperti carca merba. Bercampur aduk. Darah muda mungkin. Menulis ikut sedap. Tulisan saya penuh dengan emosi. Pada masa itu, saya hanya rasakan keseronokan mempelajari sesuatu yang baru. Membina blog dan membuat entri-entri baru sekadar untuk suka-suka. Dulu blog saya seperti diari, tapi masih bertapis. Suka-duka semua saya kongsikan. Malah hampir semua perkara yang terlintas di fikiran, saya akan curahkan di blog lama saya.

Sehinggalah pada suatu masa saya merasakan, cukuplah selama ini saya hanya bersuka-suka membuat blog. Saya rasa saya perlu membuat blog secara berfokus. Perasaan ini wujud selepas saya dipertemukan dengan Khairunnisa Hamzahara oleh suami saya sendiri. Kali pertama saya mengenalinya adalah sewaktu kami berdiskusi bagaimana untuk menghias dalaman rumah. Kami menjadi salah seorang klien beliau dan kami amat suka dengan rekaan 3D kabinet dapur yang dibuat olehnya. Terus kami jadikan ia sebagai panduan grafik untuk tukang buat kabinet rumah kami. Bila ada rekaan 3D, senang untuk pembuat kabinet membinanya mengikut selera kita. Khairunnisa Hamzahara juga seorang yang pemurah dan peramah. Beliau tidak lokek ilmu tentang senireka dalaman.

Itu cerita tentang guru online saya. Ya, dengan Khairunnisa Hamzahara saya berguru. Dia mengajar saya secara maya bagaimana untuk jadikan hobi blogging itu sebagai suatu yang benar-benar membawa kepada pembacanya. Bagaimana ingin memulakan suatu yang baru? Adakah perlu simpan yang lama, atau terus mulakan dengan blog yang serba-serbi baru? Entri dan bentuk penulisan bagaimanakah yang patut saya ketengahkan? Penggunaan bahasa yang bagaimana yang perlu saya gunakan? Perlukah pengkhususan dalam satu-satu blog? Atau perlukah saya “hantam sajalah” untuk tarik minat pembaca?

Penjenamaan semula untuk blog hasil tulisan saya dimulakan dari sifar. Saya bertatih sedikit demi sedikit. Bermulalah saya membuat entri dengan lebih bertujuan.

Menulis dan terus menulis. Satu persatu saya diajar dan diberi dorongan. Berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dalam kelas online kami di dalam Group Belajar Asas Blog (Guru Khairunnisa Hamzahara). Pengajaran asas blog secara online ini diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad.

Maka, lahirlah blog saya ini, yang bertajuk “Panduan Pengguna Kupas Kepis”. Sebab saya gemar mengulas barangan yang saya gunakan, dan suka berkongsi pendapat tentang sesuatu barangan.

Semoga blog saya ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.