Kedai Instagram

Teks : Azlina Zabha
Imej : 5 Most Effective Ways to Increase Followers on Instagram, Article Winter

Kedai Instagram. Makin hari makin suka saya membelek aplikasi Instagram. Ada kedai perfume gred AAA Dubai, kedai tudung, kedai cadar partchwork, kedai roti dan kek, kedai gadget murah, kedai barangan untuk bayi dan kanak-kanak, dan ada juga kedai menjual baju kurung cantik untuk ibu yang menyusukan anak.

Kenapa saya rasa ia menarik?
Aplikasi Instagram adalah aplikasi paling mudah untuk digunakan. Bersifat tiada paksaan, malah saya berpendapat ia juga salah satu medium terbaik untuk mempromosi sesuatu. Kebanyakan kedai instagram akan meletakkan hashtag (#) yang memudahkan bakal pelanggannya membuat carian di Instagram. Antaranya #sayajual adalah hashtag terbaik untuk mana-mana penjual di Instagram.

Siapakan sasaran pelanggan di Instagram?
Sasaran utama untuk penjual atau jurujual di kedai Instagram, ialah sesiapa sahaja yang rajin membelek Instagram. Siapa? Siapa sahaja yang merasakan Instagram itu menyeronokkan. Bukan golongan remaja atau dewasa sahaja. Malah skopnya lebih luas.

Waktu kedai-kedai di Instgram beroperasi
Kedai Instagram selalunya beroperasi 24 jam. Seronok, kan? Ada masanya, serta merta tuan kedai akan menjawab soalan kita. Pernah beberapa kali, pemilik kedai instagram menjawab pertanyaan saya waktu pagi buta, pukul 2.00 pagi hingga 3.00 pagi. Saya menganggapnya sangat bekerja keras dalam berniaga serta secara tidak langsung dapat menjaga hubungan baik antara pekedai dan pembeli.

Pemilihan Kedai Instagram
Jika saya, saya akan pilih kedai Instagram yang barangannya murah-murah tapi berkualiti. Sama sahaja seperti di luar sana. Semestinya juga kita memilih kedai yang bagus layanan pekadainya dengan pembeli. Imej yang digunakan di Instagram haruslah menarik dan cantik. Malah kadang-kadang saya sampai tidak menyangka, ada sesetengah Instagram menyediakan gambar yang cantik-cantik, tetapi harganya sangat berpatutan. Terlampau murah.

Jom membeli-belah di Instagram. 🙂 Bulan Ramadhan mesti ramai yang menjual barangan sambil mengumpul pahala dengan memberi harga jualan runtuh untuk beberapa hari atau beberapa jam, membeli sambil menyumbang, dan mungkin juga akan memberi barangan percuma kepada pelanggannya yang setia.

Kiraan Zakat Pendapatan Bulanan

Teks : Azlina Zabha

Insuran nyawa dan medical card Prudential, insuran kereta, bayaran bulanan kereta dan rumah, bil api dan air, bil pasca bayar telefon bimbit Celcom, bil Astro, dan makan pakai kita setiap bulan.

Alhamdulillah, boleh kata semua kita mampu bayar. Jadi, adalah lebih lega jika kita dapat sediakan sedikit duit untuk pembayaran zakat pendapatan, tidak kira kita bekerja sendiri mahupun ada majikan. Siapa perlu bayar? Kitalah  orangnya; yang mempunyai pendapatan ini.

Kenapa kita perlu bayar zakat?
Supaya berkat rezeki pendapatan yang Allah kurniakan pada kita. Tidak menjadi suatu kerugian pun jika kita membayar zakat. Jika ada bulan-bulan yang kita tidak mampu untuk bersedekah, cukuplah dengan membayar zakat kerana penerima zakat adalah orang yang benar-benar layak menerimanya.

Di mana kita boleh membayar zakat?
Pusat zakat negeri di daerah masing-masing. Contoh, jika kita bekerja di Melaka, berurusanlah dengan Pusat Zakat Melaka (PZM). Jika kita ada slip gaji, automatik akan ditulis di situ jumlah pembayaran zakat kita.

Bila kita perlu mula membayar zakat?
Sila rujuk pusat zakat, untuk mendapatkan kepastian.

Adakah menjadi suatu kemestian untuk membuat pernyataan di dalam slip gaji jika kita membayar zakat?
Pada pendapat saya, ia perlu bagi rujukan kita dan juga pihak berkepentingan seperti Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN). Namun, semuanya terpulanglah pada kita sendiri kerana mungkin ada di antara kita sudah dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima zakat, dan terus memberikannya sendiri.

Bagaimana kiraan zakat pendapatan?
Kita boleh mengira sendiri jumlah zakat pendapatan yang perlu kita keluarkan bergantung kepada gaji yang kita dapat. Laman web pusat zakat ada menyediakan kalkulator kiraan zakat pendapatan. Data yang diperlukan ialah:-
1) Gaji pokok tahunan (gaji bulanan darabkan dengan 12)
2) Jumlah Elaun
3) Jumlah pendapatan lain (jika ada pendapatan sampingan yang lain)
3) Status sama ada isteri bekerja atau tidak
4) Jumlah anak yang ditanggung
5) Jumlah penolakan untuk KWSP
6) Jumlah duit yang diberi kepada ibu bapa
7) Jumlah potongan untuk tabung haji

Bagaimana jika tiada pendapatan tetap? Khususnya yang bekerja sendiri.
Perlu buat kira-kira sedikit, jangan lupa catitkan di dalam buku nota, setiap bulan dapat berapa banyak pendapatan, dan berapa banyak beri kepada ibu dan bapa. Tambahkan kesemua 12 bulan pendapatan. Jika terlupa bagi bulan-bulan yang sudah, buat anggaran kasar sahaja untuk pendapatan bulan tersebut, kemudian bayarlah zakat pendapatan secara lump sum (bayar jumlah zakat untuk setahun terus).

Jika sudah tahu jumlah sepatutnya yang dibayar untuk zakat pendapatan, saya sarankan; kita lebihkan sedikit dalam RM10. Mungkin ada pendapatan sampingan yang kita tidak sedar, jadi ia boleh tampung yang sedikit itu. Mudah-mudahan pendapatan kita lebih berkat dan kehidupan kita semakin tenang selepas membayar zakat pendapatan ini.

Pentingnya Sarapan Pagi

Teks : Azlina Zabha

Imej : Three Bear Breakfast

Nasi lemak sebungkus, makan bersama telur goyang. Memang sedap! Minum pula air teh tarik panas-panas. Rasa-rasa kita mahu menolak atau tidak jika dihidangkan di depan mata menu sarapan sebegini?

Sewaktu saya kecil, sarapan pagi adalah suatu hidangan makanan yang jarang ibu saya tinggalkan. Walau waktu hujung minggu sekalipun. Paling tidak, roti bakar sapu marjerin dan tabur gula di atasnya. Pada masa itu, tidak pernah sehari pun saya terfikir apa perlunya sarapan pagi.

Baik di sekolah rendah, mahupun sekolah menengah, guru selalu ingatkan anak muridnya agar jangan sesekali meninggalkan sarapan pagi. Bila ada yang tumbang; pengsan waktu perhimpunan pagi, memang perkara pertama ditanya adalah tentang pengambilan sarapan pagi. Jadi apa pentingnya sarapan pagi?

Breakfast can be good for waistline too, research shows those who eat breakfast are less likely to be overweight and more likely to be within their ideal weight range compared with breakfast skippers.  If you skip breakfast, you’re more likely to reach for high sugar and fatty snacks mid-morning.  

(Diambil pada 16Jun2014, 8.00 malam dari http://www.shakeupyourwakeup.com/content/why-breakfast-important-1)

Merujuk kepada laman web di atas, sesiapa yang bersarapan pagi jarang mengalami masalah berat badan. Jika kita meninggalkan sarapan pagi, selang masa untuk ke waktu makan tengah hari, kita akan cenderung mengambil makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi dan makanan berlemak. Saya ada dengar juga di radio, ada seorang pendengar memberi saranan agar kita semua ambillah sarapan pagi untuk kurus sebab ia berkesan padanya dalam menurunkan berat badan.

Waktu yang dicadangkan untuk sarapan pagi
Dalam waktu dua jam selepas kita bangun dari tidur. Kenapa sarapan pagi dipanggil breakfast? Ini kerana kita sudah semalaman tidur dalam keadaan tidak makan dan tidak minum. Jika kita tidak bersarapan, apa bagaimana kita ingin melalui hari kita dengan penuh bertenaga dan dengan mood yang baik?

Menu sarapan terbaik
Bersarapanlah dengan makanan yang tinggi protein. Tinggi protein bukan bermaksud menolak makanan lain yang mempunyai karbohidrat dan sebagainya, tapi lebihkanlah pengambilan protein. Telur ayam adalah salah satu menu makanan yang tinggi kandungan proteinnya.

Menu sarapan jimat masa dan wang
Air bancuhan panas-panas suam kesukaan kita. Positifkan diri kita, fikirlah apa minuman yang kita suka untuk mencipta mood pagi yang indah. Mungkin milo kosong; tanpa gula, tanpa susu pekat. Mungkin juga Nescafé dengan susu segar dan sedikit gula. Kopi-O kurang gula ataupun air suam kosong dengan tujuh biji kismis dan tiga biji kurma.

Sarapan di mana
Mana-mana yang memudahkan kita. Saya cadangkan, bangun tidur teruslah panaskan air di dapur. Siapkan diri dan terus ke dapur semula untuk bersarapan. Paling lama ia hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Luangkan masa sedikit untuk bersarapan.

Setakat ini sahaja. Kita buat kajian sendiri ke atas diri kita. Hari yang dimulakan dengan sarapan, dan hari kita tanpa bersarapan pagi. Kemudian, cuba pula kita bersarapan dengan kadar sedikit dan bersarapan dengan makanan yang banyak. Bagaimana cara pemakanan kita selepas kita bersarapan yang berat-berat dan bagaimana pula cara pemakanan kita seharian jika kita bersarapan ala kadar.

Selamat bereksprementasi dengan diri sendiri. Seronok bila kita sudah mula bersarapan, kita akan sentiasa ingin bersarapan tanpa gagal setiap hari. Percayalah! Jika rasa menu pilihan kita agak membosankan, carilah di  internet, ada lambakan pautan yang menyediakan resepi sarapan yang menarik dan mudah untuk disediakan. 

Melatih Bayi Minum Susu Botol

Teks : Azlina Zabha
Foto : http://www.ramblesahm.com/2012/05/tommee-tippee-closer-to-nature.html dan http://intheknowmom.net/tommee-tippee-royal-baby-sippy/

Tommee Tippee jenis edisi terhad, Royal Baby
Sudah masuk dua minggu saya melatih anak menggunakan susu botol. Kali ini saya memilih untuk menggunakan susu botol jenis Tommee Tippee. Semuanya macam satu kebetulan kerana dalam masa saya ingin melengkapkan koleksi botol jenis tersebut, saya terjumpa laman web Nurizshar di http://www.nurizshar.com.my yang menawarkan harga jauh lebih murah daripada yang dijual di pasaran biasa.
Terima kasih kepada guru yang mendidik dan menjaga anak saya di pusat jagaan kanak-kanak kerana membuatkan saya lebih terdorong untuk melatih anak minum susu menggunakan botol. Bila sudah beralih arah pada susu botol sepenuhnya, ia dapat memudahkan pengasuh yang bakal menjaga Aydina nanti. Risau juga saya jika Aydina tercari-cari “susu ibu”nya jika saya tidak melatihnya begini.
Apabila Aydina sudah cukup dua bulan, saya sudah mula mengajarnya menggunakan susu botol. Mula-mula agak payah juga untuk mengajarnya. Suka benar saya dengan ekspresi mukanya bila disua susu botol. Reaksinya seperti, “Wek, susu apa ni ibu?”. Walaupun begitu, saya tetap teruskan menyua bibirnya dengan susu botol, tidak peduli dengan mimik mukanya yang seperti meminta belas kasihan. Hati kena kuat dan sabar. Sehinggalah anak kita benar-benar tidak bergantung pada direct breastfeed lagi. Baru kita boleh lega dan senang hati.
Selain daripada guru-guru di pusat jagaan, doktor di Klinik Syarifah Fadzlon juga ada menggalakkan saya melatih anak menggunakan susu botol. Waktu itu saya membawa Aydina untuk bersunat di klinik tersebut. Doktor tanya sama ada saya bekerja ataupun tidak. Jika bekerja, beliau sangat menyarankan saya untuk memulakan melatih anak minum dengan menggunakan botol seawal selepas bersalin. Saya terkejut sebenarnya, sebab mana-mana doktor yang saya jumpa sebelum ini, semua tidak menggalakan penggunaan botol susu. Malah disuruh ajar anak minum susu menggunakan sudu atau cawan kecil.
Langkah-langkah Melatih Anak Minum Susu Botol
1) Sediakan sekurang-kurangnya satu botol susu kecil sesuai untuk bayi baru lahir sebelum tempoh kelahiran anak.
2) Jika kita memilih untuk memberikan anak susu kita sendiri, pastikan kita sudah bersedia dengan bahan-bahan untuk aktiviti breastpump kita nanti. Contoh: Breastpump, milk storage, ais beku, beg untuk isi semua perkakasan untuk aktiviti tersebut
3) Namun jika kita memilih untuk beri susu formula sahaja, sediakan satu jenis susu formula dalam kuantiti yang paling kecil kerana kita tidak pasti anak kita sesuai atau tidak dengan susu yang kita pilih.
4) Mulalah seawalnya melatih anak kita dengan hati yang kuat dan sabar.
5) Sediakan juga alat pembersih botol susu, dan juga sabun pembersih botol. Saya suka jenis Fiffy yang botolnya berwarna hijau. Wangi dan likat.
Langkah terbaik untuk ibu-ibu yang akan bekerja setelah cuti bersalin, adalah dengan memberikan anak susu botol. Tidak kiralah sama ada kita memerah susu atau tidak. Jika kita perah susu kita sekalipun, latihlah anak kita minum susu kita itu dengan botol.
Oh, ya! Nanti saya akan ceritakan pengalaman saya menggunakan botol Tommee Tippee yang bagus itu di entri yang lain. 

Aydina bakal minum air kosong menggunakan botol sebegini.