Kiraan Zakat Pendapatan Bulanan

Teks : Azlina Zabha

Insuran nyawa dan medical card Prudential, insuran kereta, bayaran bulanan kereta dan rumah, bil api dan air, bil pasca bayar telefon bimbit Celcom, bil Astro, dan makan pakai kita setiap bulan.

Alhamdulillah, boleh kata semua kita mampu bayar. Jadi, adalah lebih lega jika kita dapat sediakan sedikit duit untuk pembayaran zakat pendapatan, tidak kira kita bekerja sendiri mahupun ada majikan. Siapa perlu bayar? Kitalah  orangnya; yang mempunyai pendapatan ini.

Kenapa kita perlu bayar zakat?
Supaya berkat rezeki pendapatan yang Allah kurniakan pada kita. Tidak menjadi suatu kerugian pun jika kita membayar zakat. Jika ada bulan-bulan yang kita tidak mampu untuk bersedekah, cukuplah dengan membayar zakat kerana penerima zakat adalah orang yang benar-benar layak menerimanya.

Di mana kita boleh membayar zakat?
Pusat zakat negeri di daerah masing-masing. Contoh, jika kita bekerja di Melaka, berurusanlah dengan Pusat Zakat Melaka (PZM). Jika kita ada slip gaji, automatik akan ditulis di situ jumlah pembayaran zakat kita.

Bila kita perlu mula membayar zakat?
Sila rujuk pusat zakat, untuk mendapatkan kepastian.

Adakah menjadi suatu kemestian untuk membuat pernyataan di dalam slip gaji jika kita membayar zakat?
Pada pendapat saya, ia perlu bagi rujukan kita dan juga pihak berkepentingan seperti Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN). Namun, semuanya terpulanglah pada kita sendiri kerana mungkin ada di antara kita sudah dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima zakat, dan terus memberikannya sendiri.

Bagaimana kiraan zakat pendapatan?
Kita boleh mengira sendiri jumlah zakat pendapatan yang perlu kita keluarkan bergantung kepada gaji yang kita dapat. Laman web pusat zakat ada menyediakan kalkulator kiraan zakat pendapatan. Data yang diperlukan ialah:-
1) Gaji pokok tahunan (gaji bulanan darabkan dengan 12)
2) Jumlah Elaun
3) Jumlah pendapatan lain (jika ada pendapatan sampingan yang lain)
3) Status sama ada isteri bekerja atau tidak
4) Jumlah anak yang ditanggung
5) Jumlah penolakan untuk KWSP
6) Jumlah duit yang diberi kepada ibu bapa
7) Jumlah potongan untuk tabung haji

Bagaimana jika tiada pendapatan tetap? Khususnya yang bekerja sendiri.
Perlu buat kira-kira sedikit, jangan lupa catitkan di dalam buku nota, setiap bulan dapat berapa banyak pendapatan, dan berapa banyak beri kepada ibu dan bapa. Tambahkan kesemua 12 bulan pendapatan. Jika terlupa bagi bulan-bulan yang sudah, buat anggaran kasar sahaja untuk pendapatan bulan tersebut, kemudian bayarlah zakat pendapatan secara lump sum (bayar jumlah zakat untuk setahun terus).

Jika sudah tahu jumlah sepatutnya yang dibayar untuk zakat pendapatan, saya sarankan; kita lebihkan sedikit dalam RM10. Mungkin ada pendapatan sampingan yang kita tidak sedar, jadi ia boleh tampung yang sedikit itu. Mudah-mudahan pendapatan kita lebih berkat dan kehidupan kita semakin tenang selepas membayar zakat pendapatan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *