Homemade Ikan Masin

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Azlina Binti Zabha

Hari ini saya rasa bertuah kerana dapat menikmati Homemade Ikan Masin. Bukan itu sahaja, ia digandingkan pula dengan Ayam Masak Lemak Cili Api beserta dengan Sambal Belacan Super Pedas. Masih terbayang-bayang lagi rasanya.

Semuanya Nek Ma yang masak. Termasuk Homemade Ikan Masin. Nek Ma juga yang buat. Caranya mudah, tetapi rasa dan baunya seperti ikan pekasam. Baunya, Masya Allah! Dari depan rumah ibu mertua sudah terbau.

Nek Ma merupakan nama panggilan ibu mertua saya. Nek Ma gemar memasak sendiri apa jua jenis lauk. Beliau selalu berpesan, jika basuh bahan-bahan untuk memasak, dan juga sewaktu memasak, berzikirlah. Itulah rahsia yang bukan rahsia yang selalu diamalkannya.

Jika sebelum ini, kita sering membeli ikan masin. Apa kata selepas ini, kita buat sendiri ikan masin di rumah. Homemade Ikan Masin Nek Ma tidak  terlampau masin. Sedap sangat sehingga saya tidak sedar berapa banyak saya sudah makan.

Resipenya sangat mudah. Potong ikan kecil-kecil dan masukkan ke dalam satu bekas bertutup. Kemudian, lumurkan garam ikut anggaran yang kita mahu. Akhir sekali, masukkan ke dalam peti sejuk. Biarkan di dalam peti sejuk selama lebih kurang dua minggu.

Atau pun, boleh juga jika ingin buat tempahan daripada saya. Nanti saya sampaikan pada Nek Ma jika ada yang mahu merasa. Tak rugi tau! Sungguh!

Ulasan Produk

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Five Fool-proof Ways On How To Write Good Product Reviews

Bidang pengiklanan. Masih ingat suatu masa dahulu, saya sering lihat papan iklan di tepi-tepi jalan. Bermacam-macam perkara ligat di dalam fikiran saya. Waktu itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah emak, dari UiTM Segamat.
Saya berazam pada waktu itu, jika tamat pengajian nanti, saya ingin berada dalam dunia pengiklanan. Akal saya bercabang-cabang memikirkan, apa yang perlu jika saya ingin menceburkan diri dalam bidang pengiklanan kerana pada waktu itu, saya belajar bidang perbankan. Serius, jika ikut logik akal, memang sangat jauh menyimpang.
Agaknya saya perlu pandai mengambil gambar dan ceburkan diri dalam bidang fotografi untuk jadi lebih bagus dalam bidang pengiklanan? Iklan di sana-sini pada masa itu perlukan model untuk diambil gambar bersama produk mereka. Tetapi itu iklan, salah satu bidang pemasaran untuk memperkenalkan kepada umum tentang kewujudan produk kita.
Adakah sama iklan dan juga ulasan produk? Ulasan produk adalah hampir sama dengan iklan, cuma ia lebih dalam bentuk penulisan. Pentingkah ulasan dibuat untuk produk-produk kita?
Kita letak diri kita pada tempat bakal pelanggan kita. Kita ingin membeli sesuatu produk, tetapi kita masih ragu-ragu untuk mengeluarkan duit kita untuk mendapatkannya. Maka, kita dengan pantas akan melayari internet, dan cari maklumat tentang produk yang akan kita beli itu. Kita akan baca seberapa banyak ulasan produk tersebut sebelum membelinya. Betulkan begitu?
Baiklah, mari saya pendekkan cerita. Sebenarnya, selepas ini, saya akan fokuskan blog saya ini hanya untuk ulasan produk. Sesiapa juga boleh menghubungi saya untuk saya buat ulasan tentang produk mereka, tetapi perlu mengikut syarat dan terma yang akan saya buat nanti. 
Tiga pelanggan pertama pada bulan Oktober 2015 ini, akan ada sagu hati diberi. Rebutlah peluang ini. Boleh rujuk Terma dan Syarat, dan sila isi borang tempahan ulasan produk.
Bisik-bisik : Terima kasih Sifu Kak Masayu Ahmad kerana trigger saya untuk bergerak dengan lebih pantas!

Makaroni Goreng Ala Barat

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Azlina Binti Zabha

Hari ini merupakan Hari Sukan Negara. Hari Sukan Negara adalah kesinambungan daripada program Fit.My. Sekolah saya turut terlibat dalam menyahut seruan negara agar menjayakan program tersebut.

Senamrobik merupakan acara utama dalam program pada hari ini. Murid-murid dijemput hadir ke sekolah menyertai program. Manakala guru-guru diwajibkan hadir bersama-sama meraikannya.

Selesai sahaja program tersebut, saya dan rakan-rakan masuk ke dalam bilik guru untuk menikmati jamuan ringan yang disediakan secara potluck. Beberapa hari sebelumnya, saya asyik berfikir, apa yang boleh saya buat untuk jamuan potluck ini. Jadi,  saya dan dua orang guru berpakat untuk kumpul sejumlah duit. Maka, terhasillah makaroni goreng ala barat.

Saya ingin ambil peluang ini berkongsi dengan pembaca, apakah bahan-bahan serta cara-cara membuat makaroni goreng ala barat. Mudah sangat. Bahan juga senang didapati.

Bahan-bahan
1 bungkus makaroni (San Remo) ~ direbus & ditos
1/2 tin Mushroom Soup (Campbell)
1/2 bawang besar dipotong dadu
1 kotak kecil susu segar (Goodday)
1/2 ayam bahagian dada (keel) dipotong dadu
3 sudu lada kisar
1/2 kiub ayam
1 mangkuk kecil mix vege
2 tangkai lada hidup merah & hijau (dipotong mayang)
3 sudu minyak masak
Garam secukup rasa
1 sudu kecil gula

Cara-cara
1) Tumis bawang merah hingga naik bau.
2) Masukkan lada kisar dan kacau. Tunggu sampai naik minyak.
3) Masukkan ayam, mushroom soup, dan susu segar. Gaul hingga sebati.
4)  Masukkan kiub ayam.
5)  Letak garam dan gula secukup rasa.
6)  Tutup api dan masukkan makaroni. Gaul hingga rata.
7) Masukkan lada dan gaul.

Siap untuk dihidang. Boleh taburkan daun sup di atasnya. Gambar nanti saya upload di lain hari untuk sesi ulangan membuat makanan ini.

Terima kasih buat Kak Lily yang berikan pada saya idea membuat makaroni goreng English Style ini. Rasanya memang belum pernah saya rasa sebelum ini. Makaroni goreng ini rasanya seperti diletakkan keju, tapi tiada keju. Rasa mewah dan semestinya sedap!

Jemput buat, ya para pembaca! Anak-anak kita pun boleh makan makaroni goreng ala barat ni sebab ia tidak pedas walau ada lada kisar. Elok dibuat menu untuk sarapan ataupun makan malam.

Bisik-bisik : Ini entri saya yang ke-49 kalau tidak silap. Alhamdulillah. Tamat lagi satu entri. Moga Allah beri lagi saya idea yang mencurah-curah untuk entri-entri seterusnya.

Ulasan Kelas Tutorial Asas Blog dan Penulisan (Kelas Fatimah)

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Screenshot Notification Facebook.com

Yeay! Ini merupakan entri ke-48 saya untuk blog ini. Sifu saya sarankan saya agar buat ulasan kelas untuk entri kali ini. Baiklah, saya mulakan ulasan dengan bentuk penceritaan.

Awal Pembinaan Blog, Cikgu Khairunnisa Hamzahara, Cikgu Masayu Ahmad
Terbinanya blog http://azlinazabha.blogspot.com ini, selepas saya nekad untuk mulakan nafas baru dalam blog baru. Setelah sekian lama berblogging hanya untuk suka-suka. Syukur, Allah temukan saya dengan Sifu Khairunnisa Hamzahara pada tahun 2013 (rujuk ulasan semasa berguru dengan Sifu Khairunnisa Hamzahara)  dan kemudian berguru pula dengan Sifu Kak Masayu Ahmad pada tahun 2014.

Kelas Baru, dan Guru Baru
Kenapa sampai dua guru? Di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Sifu Sifu Khairunnisa Hamzahara terpaksa mengundur diri daripada Kelas Tutorial Bina Asas Blog yang kami jadikan tempat belajar online di Group Belajar Asas Blog (Guru Online Nisa Nua). Namun, saya dan pelajar-pelajar lain tidak dibiarkan begitu sahaja, Kami diserahkan kepada guru beliau, iaitu Sifu Kak Masayu Ahmad.

Perasaan Awal
Saya ditempatkan dalam Group Kelas/ Tutorial Asas Blog dan Penulis (Kelas Fatimah). Pada mulanya, saya berasa sangat gementar. Bukan itu sahaja, semangat saya hilang sedikit. Mulalah blog ini diam seribu bahasa. Macam kedai sudah tutup, tanpa sebarang berita. Setahun juga saya buntu dan membatukan diri. Padahal waktu itu, hari-hari Kak Masayu Ahmad buat tutorial kepada kami semua, tetapi saya takut untuk klik dan belajar.

Tahap Kesediaan Diri
Masih belum bersediakan saya pada waktu itu? Sehinggalah tiba pada suatu masa, saya diberi satu ujian yang amat perit untuk saya terima. Menangis saban hari. Tertekan benar saya. Ini membuatkan saya mencari sesuatu yang boleh buat saya lupa seketika tentang apa yang sedang saya lalui dalam dunia realiti.
Terlupa Ada Hobi
Ya, saya ada hobi! Hobi saya blogging. Saya buka akaun Facebook saya dan terus ke Group Tutorial Asas Blog dan Penulisan (Kelas Fatimah). Tepuk dahi saya. Pelbagai tips sudah Kak Masayu kongsikan untuk pelajarnya. Saya benar-benar sudah ketinggalan ke belakang. Dari saat itu, saya berazam untuk habiskan apa yang saya sudah mulakan.
Cekalkan Hati Berblogging Semula
Saya kuatkan diri, tulis walau tulisan pertama saya sejak mendiamkan diri dahulu agak beremosi. Saya tetap teruskan tulis. Teguran daripada Kak Mas, saya terima dengan hati terbuka. Itupun kadang-kadang saya terculas, hanya dapat membuat satu entri dalam dua minggu. 
Pelajaran Demi Pelajaran
Langkah demi langkah saya praktikkan mengikut kemampuan diri saya. Ada beberapa perkara yang boleh saya simpulkan selepas setahun mengikuti kelas dengan Cikgu Masayu.
  1. Fokus, fokus, fokus! Itu yang dia selalu titik beratkan. Beliau mengajar saya bagaimana untuk cari fokus dalam blog sendiri. Apa yang beliau nampak, blog saya masih belum ada fokus yang lebih menjurus. Agak menyimpang dan tersasar jauh kadang-kadang. Boleh jika ingin sekali-sekala buat entri diari kehidupan, tetapi jangan sampai dilupakan yang kita jua perlu sentiasa buat entri tentang perkara yang ada kaitan dengan fokus blog kita.
  2. Ditegur, terima teguran dengan hati terbuka, dan buat tindakan dengan segera. Cikgu saya ni merupakan seorang yang tegas. Walau bagaimanapun, dia tetap beri panduan dan galakkan untuk pelajarnya mencuba dan terus mencuba. Sebenarnya, pada pendapat saya, bila kita belajar, tidak kira dengan siapa pun, Itulah perkara yang kita patut buat. Tidak boleh tidak.
  3. Buat entri biarlah dengan tatabahasa yang betul. Itu antara panduan yang cikgu saya ajarkan. Mungkin boleh diamalkan menulis entri mengikut cara seperti kita buat thesis atau assignment di institusi tempat kita belajar dahulu. Tapi kali ini, sasarannya lebih luas, pembaca seluruh dunia. Untuk mantapkan gaya penulisan, banyakkan membaca buku-buku ilmiah atau paling mudah, banyakkan membaca majalah.
  4. Bertanya dengan rakan pelajar yang lain atau kita boleh buat persaingan sihat dengan mereka. Ini sebenarnya saya tak berapa setuju, kerana kadang-kadang rasa rendah diri saya lebih kuat sehingga saya malas untuk buat apa-apa entri jika saya bersaing dengan mereka. Tetapi, sekali- sekala apa salahnya, kan? Saya cabar diri sendiri, yang jika rakan-rakan lain dalam group boleh buat, saya juga boleh buat!
  5. Teknik pernomboran dan pelbagai lagi teknik yang diajar oleh Cikgu Masayu Ahmad untuk menulis blog dengan betul, agar ia beri manfaat kepada pembacanya.
Teknik-teknik lain boleh didapati di dalam ebook Belajar Asas Blog di http://ebookasasblog.blogspot.com. Jika ingin menyertai kelas kami, boleh berhubung terus dengan Sifu Masayu Ahmad di laman webnya, http://www.masayuahmad.com.

Ahli Shaklee Percuma

Teks: Azlina Binti Zabha
Imej : Green & Click

“Bila nilai RM13, sama nilainya seperti RM130.” Itu perkataan yang selalu diulang-ulang penulis Insyirah Azhar di dalam bukunya berjudul “Bertanya Allah Dahulu”. Waktu ini, saya benar-benar ada dalam situasi sepertinya suatu masa dahulu. Bila saat saya inginkan sesuatu, tapi hanya menjadi impian dulu di dalam hati. Ada yang lebih utama.

Siapa sangka, dengan menjadi ahli Shaklee dapat  percuma barangannya tanpa menempahnya. Tidak masuk akal, bukan? Semuanya kuasa Allah. Hari ini saya ingin berkongsikan dengan rakan pembaca yang mungkin juga ahli Shaklee, atau sedang mengintai tentang keahlian Shaklee.

Awal minggu lepas, saya terima satu mesej daripada pihak Shaklee. Dalam mesej itu berbunyi, satu bungkusan yang dipos melalui CITYLINK akan tiba pada saya tidak lama lagi. Saya benar-benar terkejut dengan berita ini.

Ini adalah kerana, saya langsung tidak ada buat apa-apa pembelian produk Shaklee dalam tempoh terdekat ini. Fikiran saya mula menyangka yang bukan-bukan. Tak mungkin hanya jadi ahli Shaklee percuma barangannya. Tetapi, jika ada sebarang penipuan pun, mana mungkin ia beralamatkan kepada saya.

Saya terus menyemak transaksi terkini melalui laman web ahli Shaklee. Ya, memang benar! Ada bukti tempahan produk Shaklee. Mata saya terus mencari nilai ringgit yang terpapar.

Ya, Allah! Kosong? Maksud saya, tiada apa-apa pembayaran untuk bungkusan yang bakal saya dapat? Ini membuatkan saya lebih tertanya-tanya, apakah isi bungkusan tersebut.

Siang tadi, baru saya berkesempatan untuk mengambil bungkusan Shaklee tersebut di sekolah. Tak sabar saya dibuatnya, jadi saya buka kotak tersebut masa itu juga. Dalamnya ada sebotol Zinc Complex. 120 tablets!

Terima kasih, ya, Allah! Saya bersyukur sangat dengan apa yang saya dapat hari ini. Saya benar-benar tidak menjangka akan pemberian daripada Shaklee ini. Sungguh!

Dalam fikiran saya, cuma fikirkan, mungkin pemberian percuma berbentuk pelekat kereta, kad diskaun, atau paling tidak hanya katalog terkini Shaklee. Rupa-rupanya sebotol suplimen keluaran Shaklee, Zinc Complex. Subhanallah!!

Alhamdulillah. Amat bersyukur atas nikmatmu, ya Allah!

Bisik-bisik :
Ada sesiapa ahli Shaklee di sini? Saya salah seorang penggemar produknya. Mungkin kita boleh bertukar-tukar ilmu.

Cuti Sekolah 2015

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Cuti sekolah 2015 kalendar takwim penggal persekolahan Pautan Sumber: mysumber.com

Cuti persekolahan untuk penggal kedua merupakan salah satu daripada Cuti Sekolah 2015. Hari ini merupakan hari ke lapan kami bercuti. Sekejap sahaja masa berlalu.

Esok lusa sudah naik sekolah. Ahad, bolehlah saya bersiap sedia untuk ke sekolah pada hari Isnin. Gosok baju dan tudung, fikir mana satu yang ingin dipakai pada hari Isnin dan seterusnya. Baju anak juga perlu disiapkan kerana dia mulakan sesi tadikanya. Tidak lupa juga pakaian suami untuk pergi bekerja.

Walau tinggal lagi sehari cuti, saya perlu jadikan ia sangat bermakna buat kami sekeluarga. Mungkin boleh saya lakukan perkara-perkara berikut:-

  1. Sediakan makanan kegemaran suami dan anak-anak.
  2. Semak apa yang perlu disiapkan sebelum naik sekolah.
  3. Bersenam bersama keluarga di taman jika cuaca baik, ataupun bersenam sahaja di dalam rumah.
Tinggal satu lagi sesi Cuti Sekolah 2015 yang agak panjang iaitu pada akhir tahun nanti. Apa agaknya yang boleh dirancang untuk pengisian cuti akhir tahun 2015. Pusing-pusing 1 Malaysia (P1M)? Waktu lain nanti kita akan cerita pula tentang ini, ya! 
Apa yang paling penting, rancanglah dahulu percutian kamu, tidak kiralah percutian itu percutian semasa cuti persekolahan ataupun tidak. Ini bagi menjadikan percutian itu lebih menyeronokkan. Selamat bercuti!

Delima Semasa Mengandung

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej :  Pomegranate Council , Instagram Ailanacatalyst

Delima, atau nama lainnya di dalam Bahasa Inggeris, Pomeganate, merupakan sejenis buah yang banyak khasiatnya. Kita semua patut mengamalkan  setiap hari kerana ia juga adalah salah satu makanan sunnah Nabi Muhammad S.A.W dan ada dicatatkan di dalam Al-Quran.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Rahman ayat 68 yang bermaksud:

Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat buah-buahan, pokok kurma dan pokok delima.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

Tidaklah buah delima yang ada pada kalian sekarang ini, melainkan sebahagian daripada buah delima dari syurga (Diriwayatkan oleh Al-Dzabi)

Pengamalan delima semasa mengandung juga adalah sangat digalakkan. Ada seorang kawan saya menasihati saya mengamalkan delima semasa mengandung anak kedua, Aydina. Menurutnya, ia dapat mengelakkan anak daripada terkena Sakit Kuning. Lain-lain faedah buah delima semasa mengandung ada diceritakan dalam Facebook Mumdreams.

  • Jika diambil semasa awal kehamilan, ia dapat mengelakkan ‘morning sickness’
  • Menjaga degupan jantung agar tetap normal (bagi ibu dan perkembangan fetusnya)
  • Menunjang kepekaan saraf dan otot agar berfungsi secara teratur (kajian mendapati rahim wanita lebih utuh/kuat sesuai dengan kepekaannya menunjang pergerakan bayi yang dikandung)
  • Menjadikan kulit bayi sihat, gebu dan cantik
  • Menunjuang kepekaan saraf dan otot agar berfungsi secara teratur (kajian mendapati rahim wanita lebih utuh/kuat sesuai dengan kepekaannya menunjang pergerakan bayi yang dikandung.
(Petikan dari Notes di dalam Facebook Mumdreams)

Saya tahu tentang perkara ini agak lewat, iaitu seminggu sebelum melahirkan Aydina. Namun, selepas melahirkan Aydina, saya tetap meneruskan makan buah delima. Mudah-mudahan, Aydina dapat khasiatnya semasa saya menyusukannya.

Ada dua cara untuk mendapatkan khasiatnya

  1. Cara, melalui cara makan terus daripada buahnya (baik untuk mereka yang mudah mencari buah delima ini).
  2. Amalkan pengambilan suplimen yang mengandungi delima di dalamnya. Saya syorkan VCO Catalyst – Pomegranate Seed Oil (Premium Qualilty). Buah delima dalam produk Catalyst ini, bukan sahaja ada buah delima dalam 1 kapsul, malah ia juga mengandungi minyak kelapa dara yang banyak manfaatnya. Kualitinya terjamin dan satu kotak cukup untuk diamalkan selama sebulan.

    Sebenarnya, banyak lagi produk-produk jenama Catalyst yang  mempunyai kandungan Minyak Kelapa Dara (Virgin Coconut Oil). Antaranya, ada dinyatakan di bawah. Namun yang saya pernah amalkan ialah VCO Catalyst Pomegranate Seed Oil dan juga VCO Liquid.

    Jika ada sebarang pertanyaan mengenai produk ini, boleh menghubungi saya terus melalui Whatsapp 0137791731.

    Nak Kurus dalam Sebulan

    Teks : Azlina Binti Zabha
    Imej : https://play.google.com/store

    Akhirnya, tertaip juga saya pada hari ini di blog ini. Alhamdulillah. Allah gerakkan hati saya untuk menulis pada hari ini. Sejak bersalin anak kedua, badan saya naik mendadak. Namun, hari-hari saya pasang niat, saya ingin kurus. Kalau boleh, saya nak kurus dalam masa sebulan. Bolehkah?

    In Shaa Allah boleh. Semua dengan keizinan  Allah. Allah itu Maha Berkuasa. Allah jua Maha Mengetahui bilakah waktu sesuai untuk makbulkan doa hambaNya untuk kurus ini. Mari kita sama-sama amalkan tips-tips di bawah ini.

    1) Yakin pada Allah, yang DIA memang akan beri kita kurus. 
    Berdoalah hari-hari. Gantikan keluhan dengan berdoa. Allah itu Maha Mendengar. Allah suka mendengar doa-doa kita.

    2) Jika nak kurus dalam sebulan, tetapkan sasaran atau target. 
    Contohnya, saya mesti turunkan berat badan sebanyak 1kg setiap bulan jika nak kurus dalam sebulan. 1kg X 12 = 12kg
    Jadi dalam setahun, berat badan saya akan berkurangan sebanyak 12kg atau lebih. Amiiin.

    3) Medium apa yang ingin kita lakukan untuk capai sasaran?
    Saya ingin perkenalkan aplikasi android dan iOS 9, yang boleh kita dapatkan secara percuma di Google Play Store atau App Store.

    NIKE+ TRAINING CLUB

    Aplikasi NIKE+ TRAINING CLUB
    Kakak saya yang memperkenalkan aplikasi percuma ini kepada saya. Segala senaman yang disenaraikan boleh dilakukan di dalam rumah. Jadi ia sangat sesuai untuk wanita seperti saya. Saya boleh lakukakannya pada waktu malam, selepas solat Isyak.

    Pada mulanya, saya berasa kekok menggunakannya. Tapi, lama-kelamaan saya berasa seronok pula. Ia ibarat Jurulatih Peribadi yang saya boleh dapatkannya secara percuma. Saya cuma perlu mengikut apa yang disuruh berserta demo yang diberi. Jika saya konsisten mengikut program bulanan yang saya boleh bina di situ, impian saya nak kurus dalam sebulan memang boleh tercapai. Ada banyak lagi konfigurasi menarik dalam aplikasi ini.

    NIKE+ RUNNING

    Aplikasi NIKE+ RUNNING
    Aplikasi ini boleh dihubungkan dengan aplikasi NIKE+ TRAINING CLUB tadi. Apabila saya buka sahaja NIKE+ RUNNING ini, dan mula meneruskan larian, akan ada suara yang memberitahu saya sama ada saya sedang berlari atau saya berhenti berlari. Pada skrin pula akan tertera waktu dan sejauh berapa kilometer sudah saya berlari.

    4) Cari Diet yang Kita Suka
    Sama ada diet mengikut jenis darah, diet menggunakan kiraan kalori (aplikasi MyFitnessPal), diet Atkins, atau diet dengan pengambilan karbohidrat secara minima. Apa yang saya pasti, adalah lebih baik kita makan makanan yang seimbang, itulah diet yang betul. Pastikan dalam setiap pengambilan makanan kita ada karbohidrat, sayur, dan buah-buahan. Elakkan makanan ringan dan lebihkan minum air kosong.

    Apa pun, niatkan di dalam hati, kurus untuk memudahkan kita beribadah. Niatkan juga supaya boleh kita boleh bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dalam keadaan sihat jika kita kurus. Mudah-mudahan, jika kita kurus nanti, kita mudah untuk mencari baju yang murah tetapi tutup aurat.

    Semoga kita sama-sama dapat merealisasikan impian nak kurus dalam sebulan!!

    Syampu Sesuai Untuk Rambut Gugur

    Teks : Azlina Binti Zabha
    Imej : Instagram Jihanmuse , Soukai ,  Rewardme , Social Mart

    Emosi lelaki dan wanita berbeza. Tetapi masalah rambut gugur tetap akan berlaku pada kedua-dua jantina tersebut.

    Sebelum ini, saya pernah ada masalah rambut gugur. Namun, sekarang saya sudah pun dapat mengatasinya setelah menggunakan pelbagai cara. Bukan tiada langsung rambut yang gugur, ada, tetapi dalam kuantiti yang normal. 

    Sebelum saya mencari syampu yang sesuai untuk rambut gugur tersebut, saya mengkaji dulu punca rambut saya boleh gugur teruk. Sebenarnya, pada masa itu saya tidak sedar bahawa saya sedang hamil anak kedua. Adalah menjadi kebiasaan sesetengah ibu mengandung atau selepas bersalin mengalami masalah rambut gugur.
    Terdapat pelbagai jenis produk di pasaran yang mungkin kita boleh cuba. Walaubagaimanapun, pastikan kita peka dengan kesan yang kita akan dapat melalui pengambilan produk tersebut. Sama ada ia kesan yang positif ataupun sebaliknya.

    Berikut merupakan produk yang kita boleh gunakan supaya rambut kita tidak gugur lagi :-

    Rejoice Anti-Hairfall (boleh rujuk Tips Rambut Cantik Dengan Syampu dan Creambath oleh Azieazra kerana beliau penggemar Syampu Rejoice)

    Apa yang saya suka tentang produk penjagaan rambut Rejoice ini adalah harganya yang berpatutan. Sekiranya produk ini sesuai dengan diri kita, teruskanlah. Saya masih ingat lagi semasa saya ditahan di wad dahulu (kes PP Type 1 to 2), syampu inilah menemani saya. Jangkaan saya meleset kerana syampu ini serasi dengan saya pada waktu itu.

    Head & Shoulders’ Anti-Hairfall, pengguna lain yang turut menggunakan syampu ini ialah Kiran Raj Singh di link http://www.beautifulhameshablog.com/head-shoulders-anti-hairfall-shampoo-review/

    Jenama Head & Shoulders’ ini tidak asing lagi bagi kami sekeluarga. Saya mengenalinya sejak saya sekolah menengah lagi, kira-kira 18 tahun yang dulu. Saya ingat lagi, waktu itu kami sekeluarga memakai Head & Shoulders’ jenis Silky Smooth. Sekarang, bila saya sudah berkeluarga, saya dan suami sukakan Head & Shoulders’ Anti-Dandruff ~ Cool Menthol. Rasa segar dan dingin.

    New & Trendy , boleh baca blog Si Gadis Kidal di entri bertajuk Beauty Care. Dia suka betul dengan shampu jenama New & Trendy ni.

    Saya sedang berjinak-jinak dengan jenama New & Trendy. Adik ipar yang perkenalkan. Lembut sangat rambut bila memakainya.

    Selain itu, saya juga amalkan pengambilan suppliment jenama Shaklee. Vitamin C, Alfafa dan Vitalea ~ multivitamin, mengandungi pelbagai vitamin dalam satu tablet (sudah kehabisan stok, saya perlu cepat-cepat membelinya). Boleh lihat info lebih mengenai Vitalea di laman web Saadah Abd Talib .

    Kita juga boleh ambil Virgin Coconut Oil (VCO) jenama Catalyst, Argan, (Premium Quality). Argan sangat bermanfaat untuk rambut kita. Ia dapat merawat rambut yang kering, juga dapat memperbaiki rambut kita yang seringkali gugur. Layari Instagram Ailana Catalyst untuk maklumat lanjut.