Resepi Roti Lilit Sedap untuk Perkhemahan

Teks : Azlina Zabha
Imej : Azlina Zabha

Adunan ini untuk lima kumpulan kecil. Kita boleh beri tugasan kepada empat orang individu untuk mengadun dan menguli bahan-bahan membuat roti lilit sedap dari setiap kumpulan. Ahli kumpulan lain bolehlah mengusahakan untuk menghidupkan api dan menjadikan ia bara menggunakan cara tradisional (perlukan papan telur sebagai starter untuk menghidupkan api).

Langkah keselamatan dan kebersihan 
Pastikan anak-anak murid membasuh dan membersihkan tangan terlebih dahulu sebelum memulakan tugasan mengadun dan menguli tepung. Pastikan kuantiti Guru-guru yang membimbing cukup untuk memerhatikan murid mengawal api tradisional dan membimbing murid menghidupkan api dan melakukan tugasan lain. Tunjukkan murid demo sebelum dan semasa melakukan setiap tugasan.

Alatan
5 bekas plastik besar berpenutup
10 pasang chopstick
10 sudu plastik
75 batang lidi untuk setiap kumpulan

Bahan-bahan
2 paket tepung gandum
5 sudu garam
5 sudu gula castor
5 sudu besar minyak masak
1 jag air yang sudah ditapis (boleh guna air coway)

Cara-cara Membuat Roti Lilit Sedap Perkhemahan
1. Bahagikan semua alatan kepada lima kumpulan kecil.
2. Tuangkan dua paket tepung sama rata ke dalam lima bekas plastik.
3. Kosongkan bahagian tengah tepung untuk setiap bekas plastik. Kemudian tuangkan air satu cawan.
4. Tambahkan satu sudu besar minyak masak bagi setiap bekas plastik.
5. Setiap bekas boleh diletakkan satu sudu garam dan satu sudu gula.
6. Gaulkan hingga rata menggunakan chopstick & sudu plastik.
7. Bila sudah sebati, uli guna tangan salah seorang ahli kumpulan. Jadikan bentuk doh seperti satu bola besar. Uli beberapa ketika.
8. Buat 15 doh berbentuk bulat-bulat kecil untuk setiap adunan dalam setiap kumpulan. Uli dan biarkan seketika (rehatkannya dalam 5 minit)
9. Setelah 5 minit telah berlalu, bentukkan 15 doh tersebut menjadi bentuk rod (arahan mudah:minta murid bentukkan menjadi seperti ular kecil). Rehatkan seketika rod tersebut selama 3 minit. Pastikan rod yang dibuat nipis supaya cepat masak apabila dibakar nanti.
10. Lilit 15 rod adunan tersebut pada 15 batang lidi yang telah diberi kepada setiap kumpulan.
11. Sedia untuk dibakar. Pastikan dibalik-balikkan supaya tidak hangus. Cara bakar adalah seperti cara bakar sate. Tidak perlu terlampau kerap mengipas. Cukup hanya bakar di atas bara api agar tidak mudah hangit.

Ulasan Produk

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Five Fool-proof Ways On How To Write Good Product Reviews

Bidang pengiklanan. Masih ingat suatu masa dahulu, saya sering lihat papan iklan di tepi-tepi jalan. Bermacam-macam perkara ligat di dalam fikiran saya. Waktu itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah emak, dari UiTM Segamat.
Saya berazam pada waktu itu, jika tamat pengajian nanti, saya ingin berada dalam dunia pengiklanan. Akal saya bercabang-cabang memikirkan, apa yang perlu jika saya ingin menceburkan diri dalam bidang pengiklanan kerana pada waktu itu, saya belajar bidang perbankan. Serius, jika ikut logik akal, memang sangat jauh menyimpang.
Agaknya saya perlu pandai mengambil gambar dan ceburkan diri dalam bidang fotografi untuk jadi lebih bagus dalam bidang pengiklanan? Iklan di sana-sini pada masa itu perlukan model untuk diambil gambar bersama produk mereka. Tetapi itu iklan, salah satu bidang pemasaran untuk memperkenalkan kepada umum tentang kewujudan produk kita.
Adakah sama iklan dan juga ulasan produk? Ulasan produk adalah hampir sama dengan iklan, cuma ia lebih dalam bentuk penulisan. Pentingkah ulasan dibuat untuk produk-produk kita?
Kita letak diri kita pada tempat bakal pelanggan kita. Kita ingin membeli sesuatu produk, tetapi kita masih ragu-ragu untuk mengeluarkan duit kita untuk mendapatkannya. Maka, kita dengan pantas akan melayari internet, dan cari maklumat tentang produk yang akan kita beli itu. Kita akan baca seberapa banyak ulasan produk tersebut sebelum membelinya. Betulkan begitu?
Baiklah, mari saya pendekkan cerita. Sebenarnya, selepas ini, saya akan fokuskan blog saya ini hanya untuk ulasan produk. Sesiapa juga boleh menghubungi saya untuk saya buat ulasan tentang produk mereka, tetapi perlu mengikut syarat dan terma yang akan saya buat nanti. 
Tiga pelanggan pertama pada bulan Oktober 2015 ini, akan ada sagu hati diberi. Rebutlah peluang ini. Boleh rujuk Terma dan Syarat, dan sila isi borang tempahan ulasan produk.
Bisik-bisik : Terima kasih Sifu Kak Masayu Ahmad kerana trigger saya untuk bergerak dengan lebih pantas!

Ulasan Kelas Tutorial Asas Blog dan Penulisan (Kelas Fatimah)

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Screenshot Notification Facebook.com

Yeay! Ini merupakan entri ke-48 saya untuk blog ini. Sifu saya sarankan saya agar buat ulasan kelas untuk entri kali ini. Baiklah, saya mulakan ulasan dengan bentuk penceritaan.

Awal Pembinaan Blog, Cikgu Khairunnisa Hamzahara, Cikgu Masayu Ahmad
Terbinanya blog http://azlinazabha.blogspot.com ini, selepas saya nekad untuk mulakan nafas baru dalam blog baru. Setelah sekian lama berblogging hanya untuk suka-suka. Syukur, Allah temukan saya dengan Sifu Khairunnisa Hamzahara pada tahun 2013 (rujuk ulasan semasa berguru dengan Sifu Khairunnisa Hamzahara)  dan kemudian berguru pula dengan Sifu Kak Masayu Ahmad pada tahun 2014.

Kelas Baru, dan Guru Baru
Kenapa sampai dua guru? Di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Sifu Sifu Khairunnisa Hamzahara terpaksa mengundur diri daripada Kelas Tutorial Bina Asas Blog yang kami jadikan tempat belajar online di Group Belajar Asas Blog (Guru Online Nisa Nua). Namun, saya dan pelajar-pelajar lain tidak dibiarkan begitu sahaja, Kami diserahkan kepada guru beliau, iaitu Sifu Kak Masayu Ahmad.

Perasaan Awal
Saya ditempatkan dalam Group Kelas/ Tutorial Asas Blog dan Penulis (Kelas Fatimah). Pada mulanya, saya berasa sangat gementar. Bukan itu sahaja, semangat saya hilang sedikit. Mulalah blog ini diam seribu bahasa. Macam kedai sudah tutup, tanpa sebarang berita. Setahun juga saya buntu dan membatukan diri. Padahal waktu itu, hari-hari Kak Masayu Ahmad buat tutorial kepada kami semua, tetapi saya takut untuk klik dan belajar.

Tahap Kesediaan Diri
Masih belum bersediakan saya pada waktu itu? Sehinggalah tiba pada suatu masa, saya diberi satu ujian yang amat perit untuk saya terima. Menangis saban hari. Tertekan benar saya. Ini membuatkan saya mencari sesuatu yang boleh buat saya lupa seketika tentang apa yang sedang saya lalui dalam dunia realiti.
Terlupa Ada Hobi
Ya, saya ada hobi! Hobi saya blogging. Saya buka akaun Facebook saya dan terus ke Group Tutorial Asas Blog dan Penulisan (Kelas Fatimah). Tepuk dahi saya. Pelbagai tips sudah Kak Masayu kongsikan untuk pelajarnya. Saya benar-benar sudah ketinggalan ke belakang. Dari saat itu, saya berazam untuk habiskan apa yang saya sudah mulakan.
Cekalkan Hati Berblogging Semula
Saya kuatkan diri, tulis walau tulisan pertama saya sejak mendiamkan diri dahulu agak beremosi. Saya tetap teruskan tulis. Teguran daripada Kak Mas, saya terima dengan hati terbuka. Itupun kadang-kadang saya terculas, hanya dapat membuat satu entri dalam dua minggu. 
Pelajaran Demi Pelajaran
Langkah demi langkah saya praktikkan mengikut kemampuan diri saya. Ada beberapa perkara yang boleh saya simpulkan selepas setahun mengikuti kelas dengan Cikgu Masayu.
  1. Fokus, fokus, fokus! Itu yang dia selalu titik beratkan. Beliau mengajar saya bagaimana untuk cari fokus dalam blog sendiri. Apa yang beliau nampak, blog saya masih belum ada fokus yang lebih menjurus. Agak menyimpang dan tersasar jauh kadang-kadang. Boleh jika ingin sekali-sekala buat entri diari kehidupan, tetapi jangan sampai dilupakan yang kita jua perlu sentiasa buat entri tentang perkara yang ada kaitan dengan fokus blog kita.
  2. Ditegur, terima teguran dengan hati terbuka, dan buat tindakan dengan segera. Cikgu saya ni merupakan seorang yang tegas. Walau bagaimanapun, dia tetap beri panduan dan galakkan untuk pelajarnya mencuba dan terus mencuba. Sebenarnya, pada pendapat saya, bila kita belajar, tidak kira dengan siapa pun, Itulah perkara yang kita patut buat. Tidak boleh tidak.
  3. Buat entri biarlah dengan tatabahasa yang betul. Itu antara panduan yang cikgu saya ajarkan. Mungkin boleh diamalkan menulis entri mengikut cara seperti kita buat thesis atau assignment di institusi tempat kita belajar dahulu. Tapi kali ini, sasarannya lebih luas, pembaca seluruh dunia. Untuk mantapkan gaya penulisan, banyakkan membaca buku-buku ilmiah atau paling mudah, banyakkan membaca majalah.
  4. Bertanya dengan rakan pelajar yang lain atau kita boleh buat persaingan sihat dengan mereka. Ini sebenarnya saya tak berapa setuju, kerana kadang-kadang rasa rendah diri saya lebih kuat sehingga saya malas untuk buat apa-apa entri jika saya bersaing dengan mereka. Tetapi, sekali- sekala apa salahnya, kan? Saya cabar diri sendiri, yang jika rakan-rakan lain dalam group boleh buat, saya juga boleh buat!
  5. Teknik pernomboran dan pelbagai lagi teknik yang diajar oleh Cikgu Masayu Ahmad untuk menulis blog dengan betul, agar ia beri manfaat kepada pembacanya.
Teknik-teknik lain boleh didapati di dalam ebook Belajar Asas Blog di http://ebookasasblog.blogspot.com. Jika ingin menyertai kelas kami, boleh berhubung terus dengan Sifu Masayu Ahmad di laman webnya, http://www.masayuahmad.com.

Ulasan Kelas Asas Blog (Guru Online Khairunnisa Hamzahara)

Teks : Azlina Zabha
Imej : Blargon Get to Know the Key Terms of Blogging

Apabila ditanya, apa hobi saya? Saya akan pantas menjawab, “Blogging!”  Ya, jawapan paling pendek, blogging. Dari dulu hingga kini, jawapan masih tetap sama. Namun, masih relevankah ia dijadikan sebagai hobi?

Jika dulu, saya gemar menulis blog yang bersandarkan isi hati, dan apa yang ditulis di dalam blog, semuanya seperti carca merba. Bercampur aduk. Darah muda mungkin. Menulis ikut sedap. Tulisan saya penuh dengan emosi. Pada masa itu, saya hanya rasakan keseronokan mempelajari sesuatu yang baru. Membina blog dan membuat entri-entri baru sekadar untuk suka-suka. Dulu blog saya seperti diari, tapi masih bertapis. Suka-duka semua saya kongsikan. Malah hampir semua perkara yang terlintas di fikiran, saya akan curahkan di blog lama saya.

Sehinggalah pada suatu masa saya merasakan, cukuplah selama ini saya hanya bersuka-suka membuat blog. Saya rasa saya perlu membuat blog secara berfokus. Perasaan ini wujud selepas saya dipertemukan dengan Khairunnisa Hamzahara oleh suami saya sendiri. Kali pertama saya mengenalinya adalah sewaktu kami berdiskusi bagaimana untuk menghias dalaman rumah. Kami menjadi salah seorang klien beliau dan kami amat suka dengan rekaan 3D kabinet dapur yang dibuat olehnya. Terus kami jadikan ia sebagai panduan grafik untuk tukang buat kabinet rumah kami. Bila ada rekaan 3D, senang untuk pembuat kabinet membinanya mengikut selera kita. Khairunnisa Hamzahara juga seorang yang pemurah dan peramah. Beliau tidak lokek ilmu tentang senireka dalaman.

Itu cerita tentang guru online saya. Ya, dengan Khairunnisa Hamzahara saya berguru. Dia mengajar saya secara maya bagaimana untuk jadikan hobi blogging itu sebagai suatu yang benar-benar membawa kepada pembacanya. Bagaimana ingin memulakan suatu yang baru? Adakah perlu simpan yang lama, atau terus mulakan dengan blog yang serba-serbi baru? Entri dan bentuk penulisan bagaimanakah yang patut saya ketengahkan? Penggunaan bahasa yang bagaimana yang perlu saya gunakan? Perlukah pengkhususan dalam satu-satu blog? Atau perlukah saya “hantam sajalah” untuk tarik minat pembaca?

Penjenamaan semula untuk blog hasil tulisan saya dimulakan dari sifar. Saya bertatih sedikit demi sedikit. Bermulalah saya membuat entri dengan lebih bertujuan.

Menulis dan terus menulis. Satu persatu saya diajar dan diberi dorongan. Berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dalam kelas online kami di dalam Group Belajar Asas Blog (Guru Khairunnisa Hamzahara). Pengajaran asas blog secara online ini diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad.

Maka, lahirlah blog saya ini, yang bertajuk “Panduan Pengguna Kupas Kepis”. Sebab saya gemar mengulas barangan yang saya gunakan, dan suka berkongsi pendapat tentang sesuatu barangan.

Semoga blog saya ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya.

Saringan 2 LINUS Literasi BM

Teks: Azlina Zabha
Gambar: Azlina Zabha

Kelas 1 Cemerlang sudah kosong. Sepi. Sememangnya 1.05 petang ialah waktu yang ditetapkan untuk murid-murid Tahap 1 tamat sesi persekolahan mereka pada hari ini.

Waktu ini, saya yakin mana-mana guru sekolah rendah giat menjalankan Literasi Lisan dan Menulis Saringan 2. Saringan pertama telah dijalankan beberapa bulan yang lalu. Mungkin masih ada yang tertanya-tanya apa itu Program LINUS.

Secara ringkasnya, ia merupakan program untuk guru-guru mengenali anak murid mereka dengan lebih dekat lagi daripada sudut kelancaran menulis dan membaca. Program ini menjadikan guru lebih peka terhadap anak murid mereka. Contoh, murid 1,  boleh membaca daripada konstruk 1 (mengenal huruf) sehingga Konstruk 9 (perkataan seperti sungai, kunyit, bangau). Murid 2 pula menguasai kesemua konstruk iaitu konstruk 1 hingga 12. Mungkin tanpa Program LINUS ini, sukar untuk guru-guru mengenalpasti kelemahan anak nurid mereka secara tepat. Murid pula ada pelbagai kategori. Ada yang boleh menulis dengan baik, tetapi masih lemah dalam lisan (membaca).

Saya mengajar  kelas yang kedua, dan kelas yang terakhir. Saya amat risau dengan pencapaian mereka khususnya kelas yang terakhir. Tahun ini merupakan tahun pertama saya mengajar murid kelas hujung. Suatu pengalaman yang sangat mencabar. Kali pertama juga saya berjumpa dengan murid-murid yang belum mengenal huruf dan ada juga yang lemah dalam memegang pensel. Namun, setelah dijalankan Saringan 2 ini, saya bersyukur sangat kerana ada peningkatan yang baik berbanding Saringan 1.

Guru mana yang tidak gembira atas kejayaan anak muridnya. Walau sebesar zarah kejayaan anak muridnya, ia tetap melegakan hati seorang guru. Itulah anugerah paling berharga buat diri seorang guru

Tips untuk semua ibu bapa yang akan memasukkan anaknya ke Tahun 1, cuba berjumpa dengan guru Bahasa Malaysia & Matematik sekolah Tahun 1,  tentang LINUS. Cuba dapatkan set contoh konstruk yang perlu dikuasai oleh anak kalian. Latih tubi yang dijalankan oleh ibu bapa di rumah adalah sangat dioerlukan dan membantu tahap penguasaan membaca, menulis & mengira anak-anak anda. Mungkin ibu bapa boleh dapatkannya di mana-mana lamab web juga.

Target Program LINUS ialah pada Tahun 4, murid-murid mesti sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Semoga anak-anak kita dapat menguasai keseluruhan konstruk tanpa tersekat di mana-mana konstruk. Amiin Ya Robb.

Anak Angkat LINUS

Teks: Azlina Zabha
Foto: Azlina Zabha
Hari Isnin, sinonim dengan hari perhimpunan bagi setiap minggu persekolahan. Pagi tadi, sekolah saya mengadakan perhimpunan pagi. 
Secara rutinnya, ia dimulai dengan bacaan doa oleh pengawas yang bertugas, nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Melaka, dan Lagu Bacalah (tema lagu sekolah). Kami dikehendaki berdiri bersama-sama murid untuk turut menyanyikan lagu tersebut. Sejurus kemudian, kami mengangkat tangan di bahu, dan berikrar (sebagai rakyat Malaysia). Bila ikrar pelajar dilaungkan oleh pengawas, kami guru-guru duduk. 
Waktu ini, kami sama-sama memerhatikan murid-murid kami. Kebetulan murid kelas saya betul- betul di hadapan saya. Saya perlu berwajah serius di hadapan mereka, supaya mereka tahu bahawa kita perlu beri perhatian dan tidak bermain-main pada waktu perhimpunan.
Selepas perkara rutin tadi selesai, wakil guru bertugas pada minggu lepas akan memberikan ucapan. Pelbagai peringatan dan nasihat diberikan. Saya mendengar ucapan rakan saya. Kaedah reverse psychology digunakan. Pedas dan tegas nadanya. 
Habis sahaja wakil bertugas berucap, tiba giliran Ketua Panitia Bahasa Melayu pula berucap. Beliau memberitahu bahawa Jawatankuasa LINUS ada membuat Program Sinaran yang melibatkan semua guru Bahasa Malaysia. Setiap guru BM tersebut dijadikan Mentor kepada setiap murid LINUS Literasi (BM) dari Tahun 2 Arif, 2 Dedikasi dan 3 Dedikasi. 
Pencapaian kebanyakan daripada murid tersebut adalah berada di Konstruk 3 hingga Konstruk 10. Ini adalah hasil daripada Saringan 1 yang telah dijalankan beberapa bulan yang lalu. Secara ringkasnya, Program Sinaran diwujudkan sebagai program sokongan untuk mengatasi masalah murid yang tidak menguasai kontsruk 3 hingga 12.
Alhamdulillah, saya diberi tanggungjawab untuk memastikan anak angkat saya (tidak perlu saya nyatakan namanya di sini) dari Kelas 2 Arif untuk mencapai tahap menguasai kesemua konstruk. Semoga anak angkat saya dapat membaca dan menulis dengan baik selepas ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa itu LINUS, apa itu konstruk, bukan? 
Secara umumnya, Program LINUS dijalankan untuk murid Tahap 1, bagi memastikan semua murid boleh menulis dan membaca ( bagi LINUS LITERASI BM). Dengan adanya Program LINUS ini, kita sebagai guru BM (Literasi), Matematik (Numerasi), dan LINUS 2.0 (BI) lebih mengenali tahap anak murid kita. Sama ada dia sudah mengenal huruf atau tidak, sudah boleh mengeja dan menulis suku kata terbuka dan tertutup atau tidak, digraf, diftong, susun ayat dan bina ayat. 
Nanti saya akan tuliskan entri tentang konstruk-konstruk di dalam LINUS BM. 
Walaubagaimanapun, kerjasama ibu bapa amat kami harapkan bagi menjayakan Program LINUS ini. Sokongan daripada ibu bapa akan menjadikan anak lebih mudah dapat apa yang dipelajari.
Sampai di sini sahaja coretan saya buat masa ini. Salam ramadhan semua.

Zikrullah Tenangkan Hati

Teks : Azlina Binti Zabha
Foto : Azlina Binti Zabha

 

Sekarang ni adalah waktu rehat untuk murid-murid sekolah saya. Rehat untuk murid Tahap 1 ialah pada pukul 9.40 pagi hingga 10.05 pagi. Manakala murid Tahap 2 waktu rehatnya pada pukul 10.05 pagi hingga 10.35 pagi.
 

Setiap kali bulan Ramadhan tiba, murid-murid tetap pergi ke kantin. Tetapi aktiviti makan dan minum dibekukan dan diganti pula dengan berzikir beramai-ramai. Bergema bunyinya hingga ke kelas saya. Kebetulan kelas berdekatan dengan kantin.
 
Sayup-sayup kedengaran mereka semua melaungkan zikir. Murid yang suci dan tiada dosa. Rasa tenang walau hanya mendengarnya. Kadang-kadang rasa sebak pun ada.