Resepi Roti Lilit Sedap untuk Perkhemahan

Teks : Azlina Zabha
Imej : Azlina Zabha

Adunan ini untuk lima kumpulan kecil. Kita boleh beri tugasan kepada empat orang individu untuk mengadun dan menguli bahan-bahan membuat roti lilit sedap dari setiap kumpulan. Ahli kumpulan lain bolehlah mengusahakan untuk menghidupkan api dan menjadikan ia bara menggunakan cara tradisional (perlukan papan telur sebagai starter untuk menghidupkan api).

Langkah keselamatan dan kebersihan 
Pastikan anak-anak murid membasuh dan membersihkan tangan terlebih dahulu sebelum memulakan tugasan mengadun dan menguli tepung. Pastikan kuantiti Guru-guru yang membimbing cukup untuk memerhatikan murid mengawal api tradisional dan membimbing murid menghidupkan api dan melakukan tugasan lain. Tunjukkan murid demo sebelum dan semasa melakukan setiap tugasan.

Alatan
5 bekas plastik besar berpenutup
10 pasang chopstick
10 sudu plastik
75 batang lidi untuk setiap kumpulan

Bahan-bahan
2 paket tepung gandum
5 sudu garam
5 sudu gula castor
5 sudu besar minyak masak
1 jag air yang sudah ditapis (boleh guna air coway)

Cara-cara Membuat Roti Lilit Sedap Perkhemahan
1. Bahagikan semua alatan kepada lima kumpulan kecil.
2. Tuangkan dua paket tepung sama rata ke dalam lima bekas plastik.
3. Kosongkan bahagian tengah tepung untuk setiap bekas plastik. Kemudian tuangkan air satu cawan.
4. Tambahkan satu sudu besar minyak masak bagi setiap bekas plastik.
5. Setiap bekas boleh diletakkan satu sudu garam dan satu sudu gula.
6. Gaulkan hingga rata menggunakan chopstick & sudu plastik.
7. Bila sudah sebati, uli guna tangan salah seorang ahli kumpulan. Jadikan bentuk doh seperti satu bola besar. Uli beberapa ketika.
8. Buat 15 doh berbentuk bulat-bulat kecil untuk setiap adunan dalam setiap kumpulan. Uli dan biarkan seketika (rehatkannya dalam 5 minit)
9. Setelah 5 minit telah berlalu, bentukkan 15 doh tersebut menjadi bentuk rod (arahan mudah:minta murid bentukkan menjadi seperti ular kecil). Rehatkan seketika rod tersebut selama 3 minit. Pastikan rod yang dibuat nipis supaya cepat masak apabila dibakar nanti.
10. Lilit 15 rod adunan tersebut pada 15 batang lidi yang telah diberi kepada setiap kumpulan.
11. Sedia untuk dibakar. Pastikan dibalik-balikkan supaya tidak hangus. Cara bakar adalah seperti cara bakar sate. Tidak perlu terlampau kerap mengipas. Cukup hanya bakar di atas bara api agar tidak mudah hangit.

Makaroni Goreng Ala Barat

Teks : Azlina Binti Zabha
Imej : Azlina Binti Zabha

Hari ini merupakan Hari Sukan Negara. Hari Sukan Negara adalah kesinambungan daripada program Fit.My. Sekolah saya turut terlibat dalam menyahut seruan negara agar menjayakan program tersebut.

Senamrobik merupakan acara utama dalam program pada hari ini. Murid-murid dijemput hadir ke sekolah menyertai program. Manakala guru-guru diwajibkan hadir bersama-sama meraikannya.

Selesai sahaja program tersebut, saya dan rakan-rakan masuk ke dalam bilik guru untuk menikmati jamuan ringan yang disediakan secara potluck. Beberapa hari sebelumnya, saya asyik berfikir, apa yang boleh saya buat untuk jamuan potluck ini. Jadi,  saya dan dua orang guru berpakat untuk kumpul sejumlah duit. Maka, terhasillah makaroni goreng ala barat.

Saya ingin ambil peluang ini berkongsi dengan pembaca, apakah bahan-bahan serta cara-cara membuat makaroni goreng ala barat. Mudah sangat. Bahan juga senang didapati.

Bahan-bahan
1 bungkus makaroni (San Remo) ~ direbus & ditos
1/2 tin Mushroom Soup (Campbell)
1/2 bawang besar dipotong dadu
1 kotak kecil susu segar (Goodday)
1/2 ayam bahagian dada (keel) dipotong dadu
3 sudu lada kisar
1/2 kiub ayam
1 mangkuk kecil mix vege
2 tangkai lada hidup merah & hijau (dipotong mayang)
3 sudu minyak masak
Garam secukup rasa
1 sudu kecil gula

Cara-cara
1) Tumis bawang merah hingga naik bau.
2) Masukkan lada kisar dan kacau. Tunggu sampai naik minyak.
3) Masukkan ayam, mushroom soup, dan susu segar. Gaul hingga sebati.
4)  Masukkan kiub ayam.
5)  Letak garam dan gula secukup rasa.
6)  Tutup api dan masukkan makaroni. Gaul hingga rata.
7) Masukkan lada dan gaul.

Siap untuk dihidang. Boleh taburkan daun sup di atasnya. Gambar nanti saya upload di lain hari untuk sesi ulangan membuat makanan ini.

Terima kasih buat Kak Lily yang berikan pada saya idea membuat makaroni goreng English Style ini. Rasanya memang belum pernah saya rasa sebelum ini. Makaroni goreng ini rasanya seperti diletakkan keju, tapi tiada keju. Rasa mewah dan semestinya sedap!

Jemput buat, ya para pembaca! Anak-anak kita pun boleh makan makaroni goreng ala barat ni sebab ia tidak pedas walau ada lada kisar. Elok dibuat menu untuk sarapan ataupun makan malam.

Bisik-bisik : Ini entri saya yang ke-49 kalau tidak silap. Alhamdulillah. Tamat lagi satu entri. Moga Allah beri lagi saya idea yang mencurah-curah untuk entri-entri seterusnya.

Resepi Pavlova Paling Senang

Teks : Azlina Zabha
Imej : Diambil dari http://mylovelyfamily-ana.blogspot.com/2012/03/resepi-pavlova-dan-tutorial.html pada jam 8.29am, 20Julai2014

Pavlova. Dengar sahaja kek pavlova, saya sudah dapat membayangkan rasa meringe pada keknya yang rangup. Manis-manis rangup yang disulam dengan rasa fresh cream serta buah-buahan masam di atasnya.

Mula mengenalinya sejak ia menjadi kegilaan ramai dan seperti trend pada masa itu. Saya kurang pasti pada tahun berapa, tapi ia telah menjadi trend sebelum tahun 2014 lagi. Di mana-mana sahaja ia menjadi sebutan dan tempahan kek pavlova pada yang menjual homemade cake mencanak-canak tempahannya.

Saya tidak mahu copy paste di sini resepinya, jadi, pergilah ke pautan di bawah ini untuk membaca resepi pavlova yang saya katakan paling sedap itu. Sudah disiapkan dengan tutorial satu persatu.

http://mylovelyfamily-ana.blogspot.com/2012/03/resepi-pavlova-dan-tutorial.html

Resepi Oat Choco

Teks : Azlina Zabha
Imej : nasaoji dari entrinya bertajuk Oat Choco Brand Twinfish

Oat Choco adalah sejenis makanan yang berasaskan oat, dan sudah tentu ia mempunya serat yang tinggi. Coklat putih yang menyalutinya tidak berapa manis, dan sesuai untuk pengambilan pada waktu kita lapar. Cukup untuk mengenyangkan kita pada masa tersebut.

Saya bukan penggemar oat. Tetapi, bila saya makan sahaja Oat Choco, saya jadi suka untuk makan berkali-kali. Kedua-dua mertua saya juga menggemarinya. Pada saya, ia amat sesuai kepada yang ingin menjaga kesihatan dan sangat titik beratkan diet dalam pemakanan seharian.

Sekarang sudah 18 Julai 2014, ini bermaksud lagi 10 hari kita akan menyambut Aidilfitri. Ramadhan pula akan melabuhkan tirainya, kedengaran amat sedih. Apa kata jika ada masa lebih, kita buat Oat Choco sendiri sambil berzikir dan berselawat. Boleh buat kudapan pada waktu malam, dan boleh juga dijadikan biskut sihat untuk tetamu yang datang ke rumah.

Bahan-Bahan :
-100 gram Nestum
-100 gram Quakeroat
-50 gram Beryls White Compound / Coklat Compound Putih 

Cara-Cara :
1. Sediakn oat dan nestum sama banyak
2. Cairkn coklat putih secara double boiler atau kukus
3. Satukan nestum dan oat
4. Tuangkn coklat
5. Gaul pakai sudu kayu sehingga sebati
6. Ratakn adunan dalam  loyang yg d lapik plastik 
7. Sejukkan dalam freezer dlm 3-5minit 
8. Keluarkan dan potong. 
(diambil dari blog Emas Putih di pautan 

Selamat mencuba!   

Pentingnya Sarapan Pagi

Teks : Azlina Zabha

Imej : Three Bear Breakfast

Nasi lemak sebungkus, makan bersama telur goyang. Memang sedap! Minum pula air teh tarik panas-panas. Rasa-rasa kita mahu menolak atau tidak jika dihidangkan di depan mata menu sarapan sebegini?

Sewaktu saya kecil, sarapan pagi adalah suatu hidangan makanan yang jarang ibu saya tinggalkan. Walau waktu hujung minggu sekalipun. Paling tidak, roti bakar sapu marjerin dan tabur gula di atasnya. Pada masa itu, tidak pernah sehari pun saya terfikir apa perlunya sarapan pagi.

Baik di sekolah rendah, mahupun sekolah menengah, guru selalu ingatkan anak muridnya agar jangan sesekali meninggalkan sarapan pagi. Bila ada yang tumbang; pengsan waktu perhimpunan pagi, memang perkara pertama ditanya adalah tentang pengambilan sarapan pagi. Jadi apa pentingnya sarapan pagi?

Breakfast can be good for waistline too, research shows those who eat breakfast are less likely to be overweight and more likely to be within their ideal weight range compared with breakfast skippers.  If you skip breakfast, you’re more likely to reach for high sugar and fatty snacks mid-morning.  

(Diambil pada 16Jun2014, 8.00 malam dari http://www.shakeupyourwakeup.com/content/why-breakfast-important-1)

Merujuk kepada laman web di atas, sesiapa yang bersarapan pagi jarang mengalami masalah berat badan. Jika kita meninggalkan sarapan pagi, selang masa untuk ke waktu makan tengah hari, kita akan cenderung mengambil makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi dan makanan berlemak. Saya ada dengar juga di radio, ada seorang pendengar memberi saranan agar kita semua ambillah sarapan pagi untuk kurus sebab ia berkesan padanya dalam menurunkan berat badan.

Waktu yang dicadangkan untuk sarapan pagi
Dalam waktu dua jam selepas kita bangun dari tidur. Kenapa sarapan pagi dipanggil breakfast? Ini kerana kita sudah semalaman tidur dalam keadaan tidak makan dan tidak minum. Jika kita tidak bersarapan, apa bagaimana kita ingin melalui hari kita dengan penuh bertenaga dan dengan mood yang baik?

Menu sarapan terbaik
Bersarapanlah dengan makanan yang tinggi protein. Tinggi protein bukan bermaksud menolak makanan lain yang mempunyai karbohidrat dan sebagainya, tapi lebihkanlah pengambilan protein. Telur ayam adalah salah satu menu makanan yang tinggi kandungan proteinnya.

Menu sarapan jimat masa dan wang
Air bancuhan panas-panas suam kesukaan kita. Positifkan diri kita, fikirlah apa minuman yang kita suka untuk mencipta mood pagi yang indah. Mungkin milo kosong; tanpa gula, tanpa susu pekat. Mungkin juga Nescafé dengan susu segar dan sedikit gula. Kopi-O kurang gula ataupun air suam kosong dengan tujuh biji kismis dan tiga biji kurma.

Sarapan di mana
Mana-mana yang memudahkan kita. Saya cadangkan, bangun tidur teruslah panaskan air di dapur. Siapkan diri dan terus ke dapur semula untuk bersarapan. Paling lama ia hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Luangkan masa sedikit untuk bersarapan.

Setakat ini sahaja. Kita buat kajian sendiri ke atas diri kita. Hari yang dimulakan dengan sarapan, dan hari kita tanpa bersarapan pagi. Kemudian, cuba pula kita bersarapan dengan kadar sedikit dan bersarapan dengan makanan yang banyak. Bagaimana cara pemakanan kita selepas kita bersarapan yang berat-berat dan bagaimana pula cara pemakanan kita seharian jika kita bersarapan ala kadar.

Selamat bereksprementasi dengan diri sendiri. Seronok bila kita sudah mula bersarapan, kita akan sentiasa ingin bersarapan tanpa gagal setiap hari. Percayalah! Jika rasa menu pilihan kita agak membosankan, carilah di  internet, ada lambakan pautan yang menyediakan resepi sarapan yang menarik dan mudah untuk disediakan. 

Puding Roti Kukus

Teks: Azlina Zabha
Foto : Azlina Zabha

Sebenarnya ini baru kali ke empat saya membuat Puding Roti Kukus. Kali ini, saya tukarkan kismis dengan kurma. Rasa macam tak berapa kena sebab pudingnya dah manis, ditambah dengan kurma yang sangat manis. Tapi, bolehlah… Saya mengulang-ulang makan puding ni. Berhari-hari. Sampailah tiba malam tadi, lupa nak masuk peti ais sebab terlampau mengantuk.

Bila pagi tadi, tengok puding roti ni masih berbaki, saya jadi sedih. Haih. Takpelah. Just let it go.

Petang ni nak buat lagi, kali ni nak campurkan dengan Krimer Jagung pula. Guru Pembimbing saya, Puan Eshah kata sedap jika tambahkan bahan ni. InsyaAllah petang ni saya buat.

Resepi? Nanti saya kongsikan dengan kalian ye. Senang je. Lebih kurang sama dengan apa yang kamu semua cari di enjin pencarian.

***Updated!!***

Resepi Puding Roti Kukus

Bahan-bahan
1 tin susu cair
3 sudu susu pekat manis
4 sudu gula
1 sudu kecil cecair perisa Vanilla
4 keping roti (setiap satu dipotong empat)
2 biji telur
2 sudu mentega
Sedikit kismis (pilihan)
5 sudu krimer jagung (pilihan – p/s: saya belum cuba lagi letak jagung ni)

Cara-cara
1. Kacau telur dan gula. Campurkan susu cair, susu pekat manis, jagung dan perisa vanilla. Kacau hingga sebati.
2. Sapukan loyang dengan mentega.
3. Sapukan mentega selebihnya pada permukaan roti yang telah dipotong. Susunkan di dalam loyang.
4. Tuangkan campuran (1) tadi ke atas roti yang telah disusun di dalam loyang tadi.
5. Taburkan kismis.
6. Kukus sehingga 45minit.

Selamat mencuba!