Pentingnya Sarapan Pagi

Teks : Azlina Zabha

Imej : Three Bear Breakfast

Nasi lemak sebungkus, makan bersama telur goyang. Memang sedap! Minum pula air teh tarik panas-panas. Rasa-rasa kita mahu menolak atau tidak jika dihidangkan di depan mata menu sarapan sebegini?

Sewaktu saya kecil, sarapan pagi adalah suatu hidangan makanan yang jarang ibu saya tinggalkan. Walau waktu hujung minggu sekalipun. Paling tidak, roti bakar sapu marjerin dan tabur gula di atasnya. Pada masa itu, tidak pernah sehari pun saya terfikir apa perlunya sarapan pagi.

Baik di sekolah rendah, mahupun sekolah menengah, guru selalu ingatkan anak muridnya agar jangan sesekali meninggalkan sarapan pagi. Bila ada yang tumbang; pengsan waktu perhimpunan pagi, memang perkara pertama ditanya adalah tentang pengambilan sarapan pagi. Jadi apa pentingnya sarapan pagi?

Breakfast can be good for waistline too, research shows those who eat breakfast are less likely to be overweight and more likely to be within their ideal weight range compared with breakfast skippers.  If you skip breakfast, you’re more likely to reach for high sugar and fatty snacks mid-morning.  

(Diambil pada 16Jun2014, 8.00 malam dari http://www.shakeupyourwakeup.com/content/why-breakfast-important-1)

Merujuk kepada laman web di atas, sesiapa yang bersarapan pagi jarang mengalami masalah berat badan. Jika kita meninggalkan sarapan pagi, selang masa untuk ke waktu makan tengah hari, kita akan cenderung mengambil makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi dan makanan berlemak. Saya ada dengar juga di radio, ada seorang pendengar memberi saranan agar kita semua ambillah sarapan pagi untuk kurus sebab ia berkesan padanya dalam menurunkan berat badan.

Waktu yang dicadangkan untuk sarapan pagi
Dalam waktu dua jam selepas kita bangun dari tidur. Kenapa sarapan pagi dipanggil breakfast? Ini kerana kita sudah semalaman tidur dalam keadaan tidak makan dan tidak minum. Jika kita tidak bersarapan, apa bagaimana kita ingin melalui hari kita dengan penuh bertenaga dan dengan mood yang baik?

Menu sarapan terbaik
Bersarapanlah dengan makanan yang tinggi protein. Tinggi protein bukan bermaksud menolak makanan lain yang mempunyai karbohidrat dan sebagainya, tapi lebihkanlah pengambilan protein. Telur ayam adalah salah satu menu makanan yang tinggi kandungan proteinnya.

Menu sarapan jimat masa dan wang
Air bancuhan panas-panas suam kesukaan kita. Positifkan diri kita, fikirlah apa minuman yang kita suka untuk mencipta mood pagi yang indah. Mungkin milo kosong; tanpa gula, tanpa susu pekat. Mungkin juga Nescafé dengan susu segar dan sedikit gula. Kopi-O kurang gula ataupun air suam kosong dengan tujuh biji kismis dan tiga biji kurma.

Sarapan di mana
Mana-mana yang memudahkan kita. Saya cadangkan, bangun tidur teruslah panaskan air di dapur. Siapkan diri dan terus ke dapur semula untuk bersarapan. Paling lama ia hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Luangkan masa sedikit untuk bersarapan.

Setakat ini sahaja. Kita buat kajian sendiri ke atas diri kita. Hari yang dimulakan dengan sarapan, dan hari kita tanpa bersarapan pagi. Kemudian, cuba pula kita bersarapan dengan kadar sedikit dan bersarapan dengan makanan yang banyak. Bagaimana cara pemakanan kita selepas kita bersarapan yang berat-berat dan bagaimana pula cara pemakanan kita seharian jika kita bersarapan ala kadar.

Selamat bereksprementasi dengan diri sendiri. Seronok bila kita sudah mula bersarapan, kita akan sentiasa ingin bersarapan tanpa gagal setiap hari. Percayalah! Jika rasa menu pilihan kita agak membosankan, carilah di  internet, ada lambakan pautan yang menyediakan resepi sarapan yang menarik dan mudah untuk disediakan. 

Melatih Bayi Minum Susu Botol

Teks : Azlina Zabha
Foto : http://www.ramblesahm.com/2012/05/tommee-tippee-closer-to-nature.html dan http://intheknowmom.net/tommee-tippee-royal-baby-sippy/

Tommee Tippee jenis edisi terhad, Royal Baby
Sudah masuk dua minggu saya melatih anak menggunakan susu botol. Kali ini saya memilih untuk menggunakan susu botol jenis Tommee Tippee. Semuanya macam satu kebetulan kerana dalam masa saya ingin melengkapkan koleksi botol jenis tersebut, saya terjumpa laman web Nurizshar di http://www.nurizshar.com.my yang menawarkan harga jauh lebih murah daripada yang dijual di pasaran biasa.
Terima kasih kepada guru yang mendidik dan menjaga anak saya di pusat jagaan kanak-kanak kerana membuatkan saya lebih terdorong untuk melatih anak minum susu menggunakan botol. Bila sudah beralih arah pada susu botol sepenuhnya, ia dapat memudahkan pengasuh yang bakal menjaga Aydina nanti. Risau juga saya jika Aydina tercari-cari “susu ibu”nya jika saya tidak melatihnya begini.
Apabila Aydina sudah cukup dua bulan, saya sudah mula mengajarnya menggunakan susu botol. Mula-mula agak payah juga untuk mengajarnya. Suka benar saya dengan ekspresi mukanya bila disua susu botol. Reaksinya seperti, “Wek, susu apa ni ibu?”. Walaupun begitu, saya tetap teruskan menyua bibirnya dengan susu botol, tidak peduli dengan mimik mukanya yang seperti meminta belas kasihan. Hati kena kuat dan sabar. Sehinggalah anak kita benar-benar tidak bergantung pada direct breastfeed lagi. Baru kita boleh lega dan senang hati.
Selain daripada guru-guru di pusat jagaan, doktor di Klinik Syarifah Fadzlon juga ada menggalakkan saya melatih anak menggunakan susu botol. Waktu itu saya membawa Aydina untuk bersunat di klinik tersebut. Doktor tanya sama ada saya bekerja ataupun tidak. Jika bekerja, beliau sangat menyarankan saya untuk memulakan melatih anak minum dengan menggunakan botol seawal selepas bersalin. Saya terkejut sebenarnya, sebab mana-mana doktor yang saya jumpa sebelum ini, semua tidak menggalakan penggunaan botol susu. Malah disuruh ajar anak minum susu menggunakan sudu atau cawan kecil.
Langkah-langkah Melatih Anak Minum Susu Botol
1) Sediakan sekurang-kurangnya satu botol susu kecil sesuai untuk bayi baru lahir sebelum tempoh kelahiran anak.
2) Jika kita memilih untuk memberikan anak susu kita sendiri, pastikan kita sudah bersedia dengan bahan-bahan untuk aktiviti breastpump kita nanti. Contoh: Breastpump, milk storage, ais beku, beg untuk isi semua perkakasan untuk aktiviti tersebut
3) Namun jika kita memilih untuk beri susu formula sahaja, sediakan satu jenis susu formula dalam kuantiti yang paling kecil kerana kita tidak pasti anak kita sesuai atau tidak dengan susu yang kita pilih.
4) Mulalah seawalnya melatih anak kita dengan hati yang kuat dan sabar.
5) Sediakan juga alat pembersih botol susu, dan juga sabun pembersih botol. Saya suka jenis Fiffy yang botolnya berwarna hijau. Wangi dan likat.
Langkah terbaik untuk ibu-ibu yang akan bekerja setelah cuti bersalin, adalah dengan memberikan anak susu botol. Tidak kiralah sama ada kita memerah susu atau tidak. Jika kita perah susu kita sekalipun, latihlah anak kita minum susu kita itu dengan botol.
Oh, ya! Nanti saya akan ceritakan pengalaman saya menggunakan botol Tommee Tippee yang bagus itu di entri yang lain. 

Aydina bakal minum air kosong menggunakan botol sebegini.

Pereka Hiasan Dalaman (Interior Designs) Khairunnisa Hamzahara

Teks : Azlina Zabha
Imej : Khairunnisa Hamzahara

Bosan dengan rekaan yang biasa-biasa? Suka kepada senireka hiasan dalaman yang unik? Hiasan bagaimana yang dikatakan moden dan tidak lapuk ditelan zaman, atau kata nama lainnya hiasan yang “evergreen”?

Hari ini saya ingin memperkenalkan seseorang yang berhemah tinggi dan mempunyai kredibiliti yang semua orang perlukan. Kemahirannya dalam mendekorasi hiasan dalaman tidak boleh disangkal lagi. Baik hiasan dalaman kediaman, mahupun premis jualan ataupun pejabat.

Khairunnisa Hamzahara. Ya, dialah orangnya. Ideanya dalam mendekorasi hiasan dalaman adalah sangat unik. Setiap inci rekaan yang mendapat sentuhan daripadanya boleh menjadikan kita terpesona. Idea rekaannya sangat minima, tapi bergaya dan ala-ala hiasan dalaman hotel.

Ya, saya adalah salah seorang daripada banyak-banyak kliennya. Mengenalinya secara spontan semasa suami mencadangkan kepada saya untuk meminta pendapatnya tentang rekaan hiasan dalaman rumah kami. Kira-kira tahun lepas saya mengenalinya.

Suatu hari, kami sekeluarga menjumpainya di rumah mertuanya di Ayer Molek, Melaka. Habis semua kami bertanyakan kepadanya. Serba-serbi. Semua soalan yang diajukan adalah berkaitan dengan hiasan dalaman. Itulah kali pertama pengalaman saya berdepan dengan pereka hiasan dalaman. Maksud saya, berurusan dan sembang santai.

Mula-mula saya segan juga, sebab saya memang tahu kehebatan latar belakangnya. Beliau pernah menjadi Arkitek Kanan Sektor Awam dan nekad berhenti kerja dan meneruskan karier sebagai Working at Home Mom (WAHM). Ya; beliaulah pereka hiasan dalaman yang bekerja sendiri di rumah.

Lihatlah portfolio atau hasil idea rekaannya di blognya sendiri, iaitu http://khairunnisahamzahara.blogspot.com. Bukan portfolio sahaja yang dipamerkan di blog beliau, malah banyak tips yang dikongsikan. Saya sendiri membacanya walau sekali-sekala, tetapi seperti membaca Majalah Dekorasi Kediaman Online.

Idea Untuk Bilik Kerja Bagi Ibu Berkerjaya Di Rumah

Jangan segan-segan untuk menghubungi beliau dan meminta jasa baik beliau memberi idea dalam mendekorasi hiasan dalaman yang kita perlukan. Tak rugi berinteraksi dengan beliau, cubalah!

Gajet dan Kanak-kanak

Teks: Azlina Zabha
Imej : Samsung Galaxy Tab 3 Kids Wi-Fi 8GB

Samsung Galaxy Tab 3 for Kids

Teknologi adalah satu perkara yang kita tidak boleh halang atau hentikan perkembangannya, sama seperti perkembangan anak-anak pada zaman sekarang. Ada berpendapat “Saya lebih suka dan gemar hidup di zaman dahulu, yang mana tiada telefon pintar, tiada iPad, tiada komputer”. Maaf saya katakan bahawa kenyataan ini adalah paling kurang BIJAK pernah saya dengar. Perbandingan zaman 15 tahun yang lepas dengan situasi sekarang adalah jauh berbeza. Kita tidak akan mengetahui baik buruk sesuatu perkara sekiranya tidak pernah merasa, mengguna dan memilikinya.(Parasolx, 16 Julai 2013, dalam entrinya bertajuk “Gajet” Untuk Kanak-kanak? Adakah Ianya Baik atau Sebaliknya?)

Saya setuju dengan pendapat Parasolx, bila mereka sudah besar nanti, rakan-rakan lain akan berbual tentang teknologi yang mereka tahu. Jika kurang pendedahan pada anak, atau tiada langsung pendedahan tentang teknologi zaman sekarang ni, kelak anak kita akan jadi malu dengan kawan-kawan, malah akan membuatkan mereka rasa ketinggalan.

Dalam silibus pembelajaran di sekolah juga sudah diterapkan dengan ilmu penggunaan ict seawal kanak-kanak berumur tujuh tahun. Itu baru tentang komputer, entah mungkin lima tahun lagi atau sepuluh tahun lagi pula dimasukkan pula pembelajaran tentang teknologi skrin sesentuh; smartphone, tablet, ipad dan lain-lain gajet. 

Pada tahun 1997, iaitu pada 17 tahun yang lalu, arwah abah menyediakan komputer jenis desktop jenama Acer di bilik tidurnya. Saya paling seronok pada masa itu dan mula menjelajah sendiri komputer tersebut. Fanatik benar saya dengan jenama yang dibawa oleh Acer, sehingga sekarang pun masih wujud lagi jenama tersebut. 

Waktu itulah bermulanya detik saya mengenali dunia perkomputeran. Sukar tapi mudah untuk dieksplorasikan. Kaedah ulang dan ulang. Sama sahaja sepeti belajar pembelajaran yang lain. Teknik pengulangan akan buat kita lebih memahami suatu teknik, info dan apa sahaja. Bukan untuk akademik sahaja boleh diimplimentasikan teknik ini, tapi juga perkara-perkara kecil dalam hidup kita. 



Saidina Umar RA pernah menyebut “Didiklah anak kamu sesuai dengan zaman mereka”. Kalimah pendek ini memberi satu pengertian yang besar dan berharga. Perhatian utama dalam pendidikan bukan sekadar Iman, Akhlaq dan Ibadah semata-mata tetapi juga zaman (waqie’ semasa) di mana anak-anak kita berada

(Diambil dari http://www.eramuslim.com.my/anatomi-remaja/)


Kita hidup sekarang dalam dunia anak kita. jika kita ingin mengajar mereka, kita perlu mengajar untuk zaman yang mereka akan lalui nantiBenar-benar buat saya tergamam dan tertarik dengan slogan di atas. Mudah membacanya, tapi bagaimana untuk merealisasikannya melalui pengajaran saya kepada kanak-kanak? Sesuatu yang perlu didalami betul-betul.

Secara kesimpulannya, agak sukar untuk memisahkan gajet dengan dunia kanak-kanak sekarang ini. Pilihlah sama ada kita letak diri kita di tempat mereka atau alihkan perhatian mereka kepada perkara lain tidak kurang menariknya. Kita sendiri amat leka dengan kewujudan gajet zaman ini, perlukah kita marah bermati-matian jika anak kita meminta untuk bermain dengan gajet kita?

Penyelesaian ada di tangan kita, sebab mereka anak-anak kita. Siapa yang lebih mengenali anak kita berbanding orang lain? Institusi kekeluargaan kita, kita yang punya, kitalah pengarahnya, pengetuanya, guru besarnya serta kakitangannya. Kitalah orangnya yang bertanggungjawab mencoraknya, bukan orang lain. Kawal mereka dengan cara sebaiknya yang sesuai dengan diri mereka kerana setiap kanak-kanak adalah berbeza.


Sihat Cantik

Teks : Azlina Zabha
Foto : Azlina Zabha

Majalah : Rapi (Majalah Kesihatan)
Terbitan : Karangkraf
Tagline : sihat ● cantik
Laman web rasmi : http://rapi.karangkraf.com
Facebook : RAPI Magazine

Sihat dan cantik. Dua perkataan ini sahaja sudah berjaya menggambarkan isi Majalah Rapi ini. Majalah ini mengenengahkan info kesihatan dan juga kecantikan.

Lupa sejak bila saya menyukai majalah ini. Bila saya dapat membelinya sekali-sekala, hati saya tetap suka dengan setiap maklumat yang ada dalam majalah ini. Ini bukan majalah tabloid, malah saya menganggapnya seperti rakan baik saya.

Terkini dalam keluaran 15 Mei 20114 ini, ada dipaparkan topik 11 Tip Santai Hilangkan Stress Serta Merta, di muka surat 66. Salah satu caranya ialah dengan mengatakan pada diri sendiri “Saya Tidak Kisah”. Ada benarnya kadang kala perkara yang remeh temeh atau isu yang kecil yang banyak kita fikirkan dan akan membuatkan kita stress. Jadi, sekali sekala memang patut pun kita abaikan sahaja perkara tersebut dan buat sesuatu yang membahagiakan kita seperti melakukan hobi kesukaan kita. Contohnya, berblogging. Itu jika sayalah, sebab memang ia hobi saya.

Siapa menyangka bahawa membaca dengan cepat juga dapat menghilangkan stress serta merta. Sembilan tip yang lain juga menarik dan mudah untuk kita amalkan semasa kita menghadapi saat-saat stress seharian.

Banyak juga idea santai yang digunakan dalam Majalah Rapi ini. Kegunaan madu untuk mencantikkan kulit, rambut, dan madu juga boleh dijadikan bahan untuk mendapatkan tubuh yang langsing. Caranya ialah minum sesudu madu setiap kali sebelum sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam. Bagaimana ia boleh melangsingkan tubuh kita? Kenalah baca majalah rapi ini, baru tahu jawapannya.

Baiklah, izinkan saya habiskan baca majalah ini. Saya teruja untuk menghabiskan dan membaca setiap isi yang dalam majalah ini. Kali ini saya ingin membaca dengan cepat, tukar tabiat saya yang suka membaca dengan kadar perlahan.

Ulasan Kelas Asas Blog (Guru Online Khairunnisa Hamzahara)

Teks : Azlina Zabha
Imej : Blargon Get to Know the Key Terms of Blogging

Apabila ditanya, apa hobi saya? Saya akan pantas menjawab, “Blogging!”  Ya, jawapan paling pendek, blogging. Dari dulu hingga kini, jawapan masih tetap sama. Namun, masih relevankah ia dijadikan sebagai hobi?

Jika dulu, saya gemar menulis blog yang bersandarkan isi hati, dan apa yang ditulis di dalam blog, semuanya seperti carca merba. Bercampur aduk. Darah muda mungkin. Menulis ikut sedap. Tulisan saya penuh dengan emosi. Pada masa itu, saya hanya rasakan keseronokan mempelajari sesuatu yang baru. Membina blog dan membuat entri-entri baru sekadar untuk suka-suka. Dulu blog saya seperti diari, tapi masih bertapis. Suka-duka semua saya kongsikan. Malah hampir semua perkara yang terlintas di fikiran, saya akan curahkan di blog lama saya.

Sehinggalah pada suatu masa saya merasakan, cukuplah selama ini saya hanya bersuka-suka membuat blog. Saya rasa saya perlu membuat blog secara berfokus. Perasaan ini wujud selepas saya dipertemukan dengan Khairunnisa Hamzahara oleh suami saya sendiri. Kali pertama saya mengenalinya adalah sewaktu kami berdiskusi bagaimana untuk menghias dalaman rumah. Kami menjadi salah seorang klien beliau dan kami amat suka dengan rekaan 3D kabinet dapur yang dibuat olehnya. Terus kami jadikan ia sebagai panduan grafik untuk tukang buat kabinet rumah kami. Bila ada rekaan 3D, senang untuk pembuat kabinet membinanya mengikut selera kita. Khairunnisa Hamzahara juga seorang yang pemurah dan peramah. Beliau tidak lokek ilmu tentang senireka dalaman.

Itu cerita tentang guru online saya. Ya, dengan Khairunnisa Hamzahara saya berguru. Dia mengajar saya secara maya bagaimana untuk jadikan hobi blogging itu sebagai suatu yang benar-benar membawa kepada pembacanya. Bagaimana ingin memulakan suatu yang baru? Adakah perlu simpan yang lama, atau terus mulakan dengan blog yang serba-serbi baru? Entri dan bentuk penulisan bagaimanakah yang patut saya ketengahkan? Penggunaan bahasa yang bagaimana yang perlu saya gunakan? Perlukah pengkhususan dalam satu-satu blog? Atau perlukah saya “hantam sajalah” untuk tarik minat pembaca?

Penjenamaan semula untuk blog hasil tulisan saya dimulakan dari sifar. Saya bertatih sedikit demi sedikit. Bermulalah saya membuat entri dengan lebih bertujuan.

Menulis dan terus menulis. Satu persatu saya diajar dan diberi dorongan. Berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dalam kelas online kami di dalam Group Belajar Asas Blog (Guru Khairunnisa Hamzahara). Pengajaran asas blog secara online ini diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad.

Maka, lahirlah blog saya ini, yang bertajuk “Panduan Pengguna Kupas Kepis”. Sebab saya gemar mengulas barangan yang saya gunakan, dan suka berkongsi pendapat tentang sesuatu barangan.

Semoga blog saya ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya.

Tips Pilih Buah yang Manis

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Buah yang Dapat Turunkan Berat Badan oleh Fellippe Kharisma

“Aydina Baby…” Nama panggilan untuk adik. Kakak dia yang beri nama panggilan tersebut. Sudah 41 hari umurnya. Alhamdulillah saya selamat melahirkannya pada 2 April 2014 (Selasa). Syukur atas nikmatNya kerana saya telah pun habis berpantang.

Semasa berpantang, buah-buahan adalah kegemaran saya. Terutamanya buah oren dan epal (jenis Fuji yang rangup tapi masam-masam manis). Semasa saya hampir sebulan ditahan di wad sebelum tarikh bersalin, saya berkenalan dengan ramai kawan baru. Banyak juga ilmu yang saya dapat daripada mereka.

Antaranya ialah tips memilih buah yang manis. Senang antara yang paling senang. Iaitu dengan senyuman. Semasa sedang membuat pilihan, senyumlah semanisnya. Kita boleh mencubanya sendiri dengan membuat perbandingan membeli buah-buahan dalam keadaan tersenyum manis dan suatu masa lain, kita cuba beli pula dengan muka yang masam.

Jom kita cuba, mana tau tips ini memang berguna, kan?

King Karipap

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Azlina Zabha

Popia Goreng, Popia Sambal, Popia Basah

Nama Gerai : King Karipap
Lokasi : Bertentangan dengan SK Seri Duyong, Permatang Duyong, Melaka
Makanan Pilihan : Popia Basah, Popia Sambal, Popia Goreng, Keledek Goreng, Karipap Sayur, Karipap Ayam, Karipap Sardin
Minuman Pilihan : Nescafe Ais, Kopi Ais

19 hari sudah berlalu. Saya masih ditahan di wad. Masih belum boleh balik ke rumah. Masih menanti kelahiran anak ke-2. Walau saya dirancang untuk bersalin melalui pembedahan, hati saya tetap berdebar menanti tarikh yang sudah ditetapkan itu.

Gambar di dalam telefon satu-satu saya belek. Mungkin ada sesuatu yang saya boleh kongsikan di blog Panduan Pengguna Kupas Kepis saya ini. Jadi, gambar di atas adalah gambar pilihan saya untuk entri kali ini.

Hari ini saya akan perkenalkan salah satu gerai yang terletaknya di kawasan Duyong, Melaka. Gerai ini bernama King Karipap, tapi saya agak keliru dengan namanya, sama ada King Karipap ataupun Karipap King. Lama benar sudah tidak menjejakkan kaki ke gerai ini.

Ia terletak betul-betul di hadapan SK Seri Duyong, Melaka. Lokasinya di seberang jalan utama. Ada disediakan juga meja dan kerusi untuk kita santai-santai berborak di situ, sambil menikmati makanan yang kita pilih. Tempat meletakkan kenderaan bagi pembeli agak terhad.

Pengunjung gerai ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada pembeli yang ingin cuba-cuba dahulu, ada juga yang sudah pun menjadi pelanggan tetap gerai ini. Saya dan suami adalah antara pelanggan tetap gerai ini.

Apa yang dijual di sini? Mestilah ada jual karipap, tapi saiznya agak besar daripada biasa. Harganya RM2.50 satu. Bila saya dan suami pergi ke sini, kami suka membeli popia basah dan juga keledek goreng. Rasanya sangat sedap dan menghampiri “perfect”. Harga untuk pelbagai jenis popia yang mereka jual ialah RM2.00 untuk tiga biji popia. Keledeknya pula, suami selalu beli RM2.00 untuk sejumlah kuantiti, ikut saiz keledek itu dipotong.

Bagaimana hendak ke sini? Jika kita bukan orang yang biasa dengan jalan di Melaka, kita boleh petakan GPS ke SK Seri Duyong, Melaka ataupun Shell Duyong Melaka. Landmark lain, mungkin boleh petakan ke Family Store Duyong, atau Perigi Hang Tuah.

Tidur Cukup Bantu Kurus dan Cantik

Teks : Azlina Zabha
Imej : 25 Horrible Things That Happen If You Don’t Get Enough Sleep
Minggu Kehamilan : 36 Minggu
Status Wad : Hari ke-14 ditahan di wad, Hospital Besar Melaka

Kurus. Sihat. Cantik. Tiga perkara ini sangat diidamkan oleh semua wanita termasuk diri saya sendiri. Berapa banyak tablet atau minuman tambahan (supplimen) yang sudah kita amalkan? Berapa banyak ikhtiar yang kita dah buat untuk merealisasikannya?

Apa kata kita mulakan dengan tidur yang cukup. Tidak percaya? Mari kita mulakan hari ini dan lihat hasilnya pada pagi esok. Malam ini kita masuk tidur seawal 10.00 malam, atau paling lewat pun, pukul 12.00 tengah malam. Jangan sampai ia menjangkau pukul 1.00 pagi.

Nah.. apa yang kita akan rasa pada pagi keesokannya? Tentu kita rasa segar, sihat, bertenaga, tenang dan juga lebih terurus, bukan? Malah, bukan pada waktu pagi sahaja kita rasa aura positif dalam diri kita, tapi tidur yang cukup pada malam tadi akan mempengaruhi sepanjang hari kita.

Bagaimana tidur dapat membantu kita menjadi kurus dan cantik? Secara automatik, kita seperti sudah menjalani terapi yang menyuntik perasaan-perasaan positif dalam diri kita hasil daripada tidur yang cukup. Rasa sihat, segar, bertenaga dan tenang menjadikan kita lebih berkeyakinan yang kita sememangnya cantik, kurus, dan sihat. Sungguhpun kita mungkin bukan dalam kategori jelitawan, bukan memiliki susuk tubuh umpama supermodel, dan kita bukan kategori insan yang sihat secara total.

Percayalah, jika kita mengamalkan tidur yang cukup, fikiran kita akan lebih positif. Bak kata salah seorang doktor yang saya pernah jumpa di Hospital Melaka ini, fikiran dan minda kita ini sangat “powerful”, merupakan ubat yang paling mujarab untuk segala penyakit. Natijahnya, lama kelamaan, kita benar-benar jelita, kurus dan sihat.

Adapun begitu, kebetulan saya jumpa artikel di bawah ini tentang 10 kebaikan tidur yang cukup. Jemputlah baca. Artikel ini akan menguatkan lagi kepercayaan kita yang tidur cukup membantu kita menurunkan berat badan.

7. Membantu menurunkan berat badan 
Kebanyakan kita menganggap bahawa dengan kurang tidur dapat menguruskan badan, tetapi kajian terkini menunjukkan sebaliknya di mana orang yang mempunyai habit tidur malam kurang dari 7 jam mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Ini kerana kurang tidur menyebabkan hormon dalam badan tidak seimbang yang mempengaruhi selera makan. Ini kerana pengeluaran hormon ghrelin dan leptin yang diperlukan bagi mengawal selera makan akan terganggu kerana kurang tidur. Ini menjadikan seseorang itu mempunyai selera makan yang sukar dikawal. (Diambil dari entri Kebaikan Tidur Cukup Malam di

http://sitik.wordpress.com/2012/12/02/10-kebaikan-cukup-tidur-malam/ pada 01:56, 26April2014)

Mari kita amalkan tidur yang cukup mulai sekarang. Kemudian, lihat perubahan diri kita ke arah yang lebih positif dari hari ke hari. Biar kita sendiri membuktikannya, usah tunggu orang lain mengamalkannya.

Mandi Wajib Selepas Bersalin

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Warning cute baby alert melbourne baby photographer
Usia kandungan saya : 36 Minggu

Comel tak gambar bayi di atas? Ini adalah hasil tangan jurugambar bernama Kirsten Cook dari Melbourne. Beliau gemar mengambil gambar bayi. Kali ini, saya ingin berkongsi info tentang mandi wajib selepas bersalin, maka gambar ini menjadi pilihan untuk entri kali ini. 
Setiap kali kelahiran, mungkin ada yang terlupa, atau pun tidak berapa pasti tentang mandi wajib yang perlu dilakukan disebabkan faktor jarak hamil jauh dari kehamilan sebelumnya. Semoga info di bawah ini menjadikan kita lebih faham tentang mandi wajib selepas bersalin. Segala info di bawah ini adalah hasil rujukan saya dengan Ustazah Hanisah, rakan sejawat di sekolah saya.
Apakah perbezaan darah Wiladah dan darah Nifas?
Darah wiladah adalah darah yang keluar semasa ibu melahirkan anaknya. Jadi, selepas sahaja ibu selesai melahirkan anak, ibu wajib mandi hadas besar (mandi wajib). Jika ibu bersalin melalui kaedah pembedahan, lalukan air di tempat yang boleh dilakukan air sahaja, maksudnya, kawasan yang ditutup dengan plaster (tempat jahit) tidak perlu dibuka semasa mandi wajib dilakukan.
Darah nifas pula adalah darah yang keluar selepas melahirkan anak. Ia tidak sama dengan darah haid. Harap kita tidak keliru kerana kita perlu mandi wajib sebaik sahaja darah tidak keluar lagi. Jika kita sudah yakin yang darah nifas sudah berhenti keluar, maka kita sudah boleh untuk mandi wajib. Tiada had masa untuk darah nifas, tidak seperti darah haid. Selepas kita mandi wajib kerana keluar darah nifas, maka wajiblah kita solat lima waktu seperti biasa.
Bagaimanakah niat mandi wajib selepas bersalin (untuk darah wiladah dan darah nifas)?

Niat mandi wajib wiladah
“Sahaja aku mandi wajib wiladah kerana Allah Ta’ala.”
Niat mandi wajib nifas
“Sahaja aku mandi wajib nifas kerana Allah Ta’ala.”
Semoga info ringkas ini boleh dijadikan panduan untuk ibu-ibu yang masih keliru dengan mandi-mandi wajib yang perlu dilakukan selepas bersalin. Peringatan untuk diri saya juga. 
Selamat melahirkan bagi yang sedang mengandung atau hamil, dan selamat berpantang, ya!