Set Bersalin Anugerah dan Placenta Previa Type 1 Anterior

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Laman Web Set Bersalin Anugerah

Set Bersalin Anugerah

Hari ini, suami saya akan mencari set bersalin Anugerah ini untuk saya. Berkenan sungguh saya dengan Set Bersalin Anugerah ini. Cinta pandang pertama. Ini merupakan kali pertama saya membeli set bersalin sendiri. Jika anak pertama dulu, ibu mertua saya yang menguruskan bahan-bahan untuk saya gunakan semasa berpantang.

Harga untuk 1 Set Bersalin Anugerah seperti di dalam gambar di atas ialah RM199.00. Saya belum jumpa lagi harga yang lebih murah daripada harga tersebut. Mungkin saya tidak akan beli 1 set kerana saya bersalin nanti melalui pembedahan, jadi tidak semua yang terkandung dalam set bersalin tersebut boleh dipakai atau diambil oleh saya sepanjang tempoh berpantang.

Dalam Set Bersalin Anugerah ini, terdapat tujuh barangan. Hanya lima daripadanya sahaja yang benar-benar saya perlukan untuk saya berpantang nanti. Berikut adalah set yang saya maksudkan tersebut:-

(1)1 botol Minyak Telon Anugerah 50 ml
(2)1 botol Minyak Pilis Anugerah 30 ml
(3)Losyen Sejuta Khasiat Anugerah 150 ml
(4)Uncang Mandian Sauna Herba Anugerah
(5)1 botol Minyak Sejuta Rahsia Anugerah 200 ml

Jika ada yang ingin mengetahui apa lagi dua jenis barang yang ada dalam Set Bersalin Anugerah ini, bolehlah melayari  Laman Web Set Bersalin Anugerah. Di situ ada diterangkan sekali khasiat bagi setiap jenis barangan di dalam set bersalin ini. Apa yang menariknya Set Bersalin Anugerah ini ialah, ia telah dibaca dengan 30juzuk Ayat Al-Quran serta bahan-bahan yang terkandung di dalamnya juga semuanya berkhasiat. Tidak mampu untuk saya ceritakannya satu persatu. Jadi apa kata kita klik sendiri pada link yang saya beri tersebut.

Mampukah saya bertahan dan bersabar menjalani tempoh berpantang? 
In Shaa Allah. Saya hanya mampu berdoa yang terbaik. Emosi ibu berpantang lain ritmanya. Berpantang sendiri, lain rasanya. Berpantang di rumah ibu bapa sendiri, lain nadanya. Berpantang di rumah mertua, lain iramanya.

Minggu ini adalah minggu ke-35 usia bayi di dalam kandungan saya. Ketika saya menulis entri ini, saya masih ditahan di wad atas sebab Placenta Previa Type 1 Anterior, 2.83cm from os (uri bawah, sepatutnya kedudukannya di atas, bukannya bawah). Jika diikutkan, PP Type 1 tidak perlu ditahan di hospital. Namun, hari ini merupakan hari ke-9 saya ditahan di wad, iaitu sejak 13/3/2014 (Khamis).

Doktor menyatakan bahawa PP Type 1 juga ada banyak jenis. Saya sendiri tidak pasti saya Type 1 jenis yang mana satu. Bila ditanya kepada doktor, bila saya boleh discaj, beliau sering menerangkan yang jika berlaku tumpah darah, atau keluar darah sedikit pun, amat merbahaya untuk ibu dan bayi. Darah yang keluar pula tidak dapat dirasa oleh ibu, sebab tiba-tiba sahaja basah dan berdarah tanpa “signal”. Nauzubillahiminzalik.

Doakan saya selamat menjalani Caesarean Section (bersalin melalui pembedahan) pada 2/4/2014(Rabu) dengan jayanya. Mudah-mudahan saya boleh discaj pada 4/4/2014(Jumaat). Semoga Allah permudahkan segalanya. Doakan saya dan bayi baik-baik sahaja, ya!

Rindu sangat pada rumah.
Rindu sangat pada suami.
Rindu sangat pada anak.

Ya Allah, tinggikanlah tahap kesabaran kami dan permudahkanlah segalanya.

Pembersih Bilik Air Terbaik

Teks : Azlina Zabha
Gambar : http://www.gentlesupreme.com.my/home-care/daia-stains-killer

Special formulated with active cleaning ingredients. Suitable to be used at bath tub, or toilet bowl in your restroom. It is effectively cleans away all the stubborn dirt, stains and dullness without damaging the designs or colors of your favorite tiles.Daily housework become easy and efficient with Daia Stain Killa. 

(Diambil dari laman web Gentesupreme Sdn. Bhd.,   http://www.gentlesupreme.com.my/home-care/daia-stains-killer pada 4.16pagi, Khamis, 20/3/2014) 

Pelbagai jenis pembersih bilik air saya pernah jumpa. Pembersih bilik air DAIA Stain Killa ini adalah yang terbaik setakat ini. Apabila kita letakkan ia pada kotoran degil di bilik air kita, ia akan serta merta bertindak balas dan kita senang untuk membersihkannya selepas itu.

Jadi tidak perlu kita mengeluh dan berputus asa dengan kotoran degil di bilik air kita yang mungkin kita sangkakan ia memang tidak boleh ditinggalkan. Cubalah DAIA Stain Killer ini. Harganya juga berpatutan, dan sangat berbaloi jika kita memilikinya.

Jadi, selepas ini, jangan malas-malas lagi untuk membersihkan bilik air kita, ya! Adanya pembersih bilik air ini, memudahkan dan mempercepatkan diri kita membersihkan lantai, mangkuk tandas, singki, dinding bilik air, dan tidak lupa juga lubang tempat keluar air. Cuma perlu tuangkan di tempat yang dikehendaki, kemudian tunggu beberapa minit, dan kita boleh menggosoknya perlahan-lahan tanpa perlu menyentalnya sekuat hati. Seterusnya, bilas dengan air.

Gula Tinggi Semasa Mengandung

Teks : Azlina Zabha
Minggu kehamilan : 35
Kartun : SparkPeople

Sejuk. Sunyi. Saya hanya mendengar suara alunan ayat Al-Quran sahaja waktu subuh begini. Hari ini merupakan hari ketujuh saya ditahan di salah satu Wad O&G, Hospital Besar Melaka.

Sebenarnya, saya ditahan bukan kerana Diabetis Gestasi (kencing manis semasa mengandung), tapi disebabkan hal lain. Nanti saya akan ceritakan di entri yang akan datang. Untuk entri kali ini, saya akan beri sedikit info tentang Diabetis Gestasi.

Masuk minggu ke-28 kehamilan yang lalu, saya dikehendaki minum air gula untuk ujian gula dalam darah. Jika di sini, hanya hari Rabu sahaja dijadualkan untuk MGTT ( Modified Glucose Tolerance Test ). Seawal pukul 8.00 pagi, saya diberi minum air gula oleh Jururawat Masyarakat di Klinik Kesihatan Ayer Molek setelah berpuasa dari pukul 12.00 tengah malam.

Segelas air gula yang telah disukat gulanya beberapa gram, memang sangat manis dan memualkan. Setelah itu, saya rehat selama dua jam, masih tidak boleh makan dan minum. Kemudian, tepat jam 10.00 pagi, jururawat akan memanggil nama saya untuk diambil darah untuk ujian kandungan gula dalam darah.

Keputusan ujian akan diberitahu pada temujanji yang akan datang. Namun jika keputusan ujian tidak bagus, kita akan dihubungi pada hari berikutnya dan diikuti dengan ujian berikutnya, iaitu PSB.

Ini merupakan kali pertama pengalaman saya berhadapan dengan masalah Diabetis Gestasi. Disebabkan ujian MGTT saya tidak bagus, saya perlu  menjalani ujian PSB pula sehari suntuk pada Isnin berikutnya.

Seperti biasa, saya perlu berpuasa bermula jam 12.00 tengah malam, Ahad. Isnin pula, tepat pukul 8.00 pagi, darah saya diuji. Kemudian saya boleh bersarapan, dua jam seterusnya, saya perlu berpuasa lagi untuk diuji darah pada pukul 10.30 pagi. Diikuti dengan pukul 2.00 petang dan pukuk 8.00 malam. Dua jam sebelum sesi ujian darah tersebut, saya perlu berpuasa juga.

Keputusan ujian? 5.7, 4.4, 4.7 dan 4.9. Alhamdulillah. Asalkan bacaannya tidak mencecah 7.0, keputusan kita dianggap bagus. Namun setiap bulan saya akan disuruh melakukan ujian PSB tersebut.

Jika di wad ini, saya perlu menjalani ujian PSB tersebut pada setiap hari sehingga doktor berpuas hati dengan keputusan ujian PSB saya.

Adakah setiap ibu mengandung perlu minum air gula (MGTT)? Ya. Sekali setiap kali kandungan mencecah 28 minggu.

Namun jika kita mempunyai keturunan ibu dan bapa yang menghidap kencing manis, dan berat naik mendadak ketika mengandung, kita perlu minum air gula sebanyak dua kali. Iaitu semasa awal kandungan, dan semasa minggu ke-28 kandungan.

Makeup Remover Terbaik

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Azlina Zabha

L’Oreal Makeup Remover

Pagi-pagi lagi, saya akan bersiap dan merias wajah sepantasnya sebelum ke sekolah. Kadang-kadang saya perlu berada di sekolah sehingga waktu petang jika ada mesyuarat, program, LDP (Latihan Dalam Perkhidmatan), dan jika ada kerja yang perlu saya bereskan dalam kadar yang segera. Jadi, saya perlu solat sahaja di sekolah. 
Maka, Makeup Remover jenama L’Oreal ini adalah keperluan saya untuk menanggalkan segala calitan yang saya buat di wajah. Kenapa saya suka Makeup Remover ini? Berikut ialah sebab-sebab saya sangat menggemarinya:-
1) tidak memedihkan mata
2) mudah digunakan, hanya perlu goncangkan dan letakkan sedikit pada facial tissue. Kemudian, boleh terus sapukan pada kawasan yang dikehendaki.
3) boleh juga dijadikan pembersih kesan dakwat pen yang terkena pada kulit kita, beg tangan dan sebagainya
Semoga ulasan saya tentang produk ini dapat membantu kita yang masih tercari-cari makeup remover yang terbaik untuk digunakan. Jangan risau sebab ia memang sangat berbaloi. Harganya di bawah RM20 sahaja.

Akhlak Rasulullah S.A.W

Teks : Azlina Zabha

Minggu lepas, sekolah saya mengadakan sambutan Maulidur Rasul dengan penuh kesederhanaan. Sambutan diadakan sejurus selepas rutin perhimpunan harian SK Seri Duyong, Melaka. Selawat bergema di awal dan di akhir majlis.

Penceramah pula dijemput dari Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, iaitu Pn. Robiah Bt. Said. Beliau pernah berkhidmat di SK Seri Duyong, sebelum dipanggil meneruskan perkhidmatannya di Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah, dan seterusnya ke Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Kewibawaannya semasa menjalankan tugas serta kesantunannya di sekolah dulu menjadi contoh kepada rakan sekerjanya yang lain.

Antara isi ceramah yang disampaikan ialah tentang beberapa akhlak Rasulullah S.A.W yang patut kita ikuti :-  

1)Solat khusyuk
2)Tinggalkan perkara tidak berfaedah
3)Suka bersedekah
4)Menjaga kehormatan diri
5)Menjaga amanah
6)Solat jangan tinggal

Semoga kita dapat menjadikan diri kita sebaik-baik manusia seperti Nabi Muhammad S.A.W, kekasih Allah.

Selawat Makbul Doa

Teks: Azlina Zabha

Alhamdulillah. Esok saya bercuti sempena Maulidur Rasul, 12 Rabi’ul Awal. Kebetulan banyak betul kerja-kerja sekolah yang perlu saya siapkan. Syukur Allah beri masa yang banyak untuk menyiapkannya. Mudah-mudahan waktu terluang yang luas ini, kita dapat manfaatkannya sebaik mungkin.

Pada waktu saya kecil, berumur sembilan tahun, Allahyarham abah pernah bertanya, saya inginkan apa untuk peperiksaan yang saya akan duduki. Saya hanya menyatakan padanya yang saya ingin sangat dapat Tempat Pertama di dalam kelas. Allahyarham abah pesan, berselawatlah sebanyak mungkin. Mesti saya akan dapat apa yang saya inginkan.

Dalam usia sebegitu, apa sahajalah yang saya fikirkan kecuali ikut sahaja nasihat Allahyarham abah itu. Putih kata Allahyarham abah, putih jugalah terima. Tanpa bersoal panjang, saya amalkannya. Alhamdulillah. Benarlah kata Allahyarham abah. Saya dapat yang saya inginkan.

Jika saya dalam keadaan yang sangat resah, saya juga akan mengamalkan bacaan Selawat ke atas Nabi S.A.W. Contoh yang paling remeh, sewaktu saya ingin pulang ke Batu Pahat, Johor dari Tanjung Malim, Perak, saya perlu menaiki beberapa buah bas untuk tiba di perhentian bas yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bas-bas ke selatan. Tiba-tiba, dalam perjalanan yang singkat tersebut, perut saya meragam. Allah sahaja yang tahu betapa paniknya saya pasa waktu itu sebab agak mustahil untuk berhenti di tengah perjalanan sedangkan saya benar-benar ingin ke tandas waktu itu. Saya berselawat sepanjang jalan sambil berdoa agar saya sempat ke tandas. Allah makbulkan doa saya. Alhamdulillah.

Dengar seperti remeh, tapi itulah antara kelebihan berselawat. Apa kata sempena malam Maulidur Rasul ini, kita sama-sama banyakkan berselawat. Kita semua semakin matang dalam menjalani kehidupan ini, ada masanya, kita lupa untuk amalkan perkara yang mudah dalam hidup sehari-hari.

Apa yang saya tulis ini, sekadar satu perkongsian. Bukan untuk bermegah-megah. Mohon jangan salah anggap, ya!

Senyum selalu. 🙂

Idea Kemas Dapur

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Kartun diambil dari Spring Cleaning Challenge Day 13

Lebih kurang sama sahaja dengan situasi di rumah. Hehe.

Kami sekeluarga baru sahaja melakukan Spring Cleaning di dapur rumah. Sasaran utama kami ialah menyusun atur semula barang-barang mengikut kategorinya. Sebelum ini, kami hanya letakkannya di tempat yang senang untuk dicapai tanpa mementingkan kategori barangan tersebut.

Berikut merupakan perkara-perkara yang telah kami buat sepanjang sesi kemas dapur malam tadi :-

  1. Keluarkan semua barang-barang yang telah dimasukkan ke dalam kabinet.
  2. Kategorikan alatan memasak yang kerap digunakan dan yang jarang digunakan.
  3. Asingkan makanan dan minuman mengikut tarikh luput.
  4. Susun satu persatu barangan yang telah dikategorikan tadi mengikut keutamaan.
  5. Untuk barangan yang selalu digunakan, perlulah diletakkan di tempat yang mudah dicapai tetapi masih mengikut kategori.
Setelah siap kelima-lima langkah tersebut, kami memastikan persekitaran dapur kami bersih dan tiada sisa yang tertinggal. Tiada istilah “Penatlah, esok boleh sambung lagi…” Kami sudah memulakannya, jadi kami mesti melakukannya sampai kami puas dengan hasilnya. 
Jadi, kepada semua pembaca, sudahkah anda melakukan Spring Cleaning pada dapur rumah anda? Atau bahagian mana pun di dalam rumah anda?

Nurul’s Homemade Ice Cream

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Segala gambar Ais Krim diambil dari Facebook Facebook Nurul’s Homemade Ice Cream
Peta : Lukisan Azlina Binti Zabha

Chunky Funky Flavour

Nama Produk : Nurul’s Homemade Ice Cream
Laman Facebook : https://www.facebook.com/pages/Nuruls-Homemade-Ice-Cream/114495288615274
Alamat : Jalan KNMP 3, Kompleks Niaga Melaka Perdana, Bukit Katil, 75450 Melaka
Phone : 011-23290960
Email: nurulshomemadic@gmail.com
Laman Web : http://nurulshomemadeicecream.blogspot.com
Waktu Beroperasi : Isnin hingga Sabtu (11.00am – 7.00pm)

Kali ini, saya perkenalkan kepada kamu semua aiskrim keluaran tempatan, iaitu Nurul’s Homemade Ice Cream. Terdapat pelbagai perisa disediakan. Saya paling suka perisa Salted Caramel yang apabila dimasukkan ke mulut, rasanya seperti di awang-awangan. Manis dengan rasa karamel yang ada sentuhan rasa masin tapi sedap dan unik! Suami saya pula sukakan perisa Chunky Funky kerana dia sukakan teksturnya yang ada kandungan kacang.

Jika dibandingkan dengan aiskrim jenama Baskin Robin atau Ben N’ Jerry’s, saya lebih sukakan Nurul’s Homemade Ice Cream. Ia setanding dengan aiskrim import tersebut. Malah saya tidak rasa rugi jika beli aiskrim 1 pin dari Nurul’s Homemade Ice Cream walau ia berharga RM20. Pelanggan juga diberi pilihan untuk membeli aiskrim menggunakan cup, atau cone. Harganya sama, di bawah RM5.

Pelanggan juga diberi peluang untuk mencuba aiskrim yang pelbagai perisa secara percuma! Nurul’s Homemade Ice Cream sentiasa mecipta perisa-perisa baru yang membuatkan pelanggan tertawan dengan rasanya. Rugi jika anda tidak mencubanya.

Bukan itu sahaja, sekali-sekala Nurul’s Homemade Ice Cream ada membuat jualan murah untuk setiap aiskrim yang dijual. Potongan harga sebanyak 50% pernah ditawarkan kepada pelanggan-pelanggannya. Anda digalakkan sentiasa melihat perkembangan Nurul’s Homemade Ice Cream ini melalui laman Facebook yang saya paparkan di atas.

Selain itu juga, kadang-kadang Scoopworks Ice Cream Company (nama syarikat Nurul’s Homemade Ice Cream) ada membuka Bengkel Membongkar Rahsia Pembuatan Ais Krim yang diketuai oleh Rosdiadi Ramli iaitu pengasas Nurul’s Ice Cream tersebut. Ia terhad kepada 10 orang sahaja pada setiap kali bengkel diadakan.

Di manakah lokasi Nurul’s Homemade Ice Cream di Melaka? Di bawah ini saya ada paparkan lukisan peta dengan tangan saya sendiri, atau anda bolehlah gunakan alat GPS anda untuk ke sana dengan menggunakan Koordinat GPS 2.265250, 102.306030 .

Sampai di sini sahaja. Jika ada makanan lain yang sedap-sedap, saya akan kongsikannya di sini, insya Allah. 🙂

Pejabat Bergerak

Teks: Azlina Zabha
Gambar : Google Image’s Search

Ada sesetengah pekerjaan yang memerlukan seseorang itu bergerak ke sana ke mari dengan menggunakan kenderaan. Dalam suatu situasi, adalah perlu bagi pekerja, ahli perniagaan mahupun pelajar mencetak sesuatu bagi melancarkan pekerjaan mereka. Jika kawasan yang berdekatan mempunyai kemudahan Cyber Cafe atau mesin fotostat memanglah ia tidak jadi masalah. Namun, jika tiada langsung kemudahan tersebut, apa perlu kita buat?

Saya sarankan, apa kata anda ambil inisiatif untuk wujudkan pejabat bergerak di dalam kenderaan anda sendiri.

Berikut ialah keperluan asas yang perlu anda sediakan:-

1) Car Power Inverter


Gambar di atas menunjukkan pelbagai jenis Car Power Inverter. Ia membolehkan anda menghubungkan plug 3-pin pada sumber elektrik dalam kereta anda.

2) Printer / Pencetak 3 dalam 1

Printer 3 dalam 1 ini memudahkan anda mencetak, scan, dan juga fotostat dokumen atau gambar.

3) Komputer riba / laptop / notebook

Komputer riba terletaknya seribu satu dokumen yang berkaitan dengan pekerjaan anda. Rajinkanlah diri membawanya ke mana-mana supaya ia memudahkan lagi pekerjaan anda.

4) 3G / 4G Broadband Device

Peranti ini membolehkan anda melayari internet.

Semoga tips untuk pejabat bergerak ini membantu anda menyelesaikan tugasan anda dalam kadar segera.

Sampai jumpa lagi.

Rasulullah is my DOCTOR oleh Jerry D. Gray

Teks : Azlina Zabha
Gambar : Azlina Zabha

Judul Buku : Rasulullah is my DOCTOR
Penulis : Jerry D. Gray
Terbitan : PTS Islamika Sdn. Bhd.
Terbitan Pertama : 2013
Harga : RM25.00 (Semenanjung Malaysia), RM27.00 (Sabah & Sarawak

Buku ini menyajikan cara pencegahan dan penyembuhan penyakit secara praktikal yang telah menjadi amalan Rasulullah s.a.w. Pelbagai resepi perubatan secara spiritual dan juga fizikal ditulis dalam buku ini.

Tidak ketinggalan juga, ada beberapa pengalaman penulis sendiri dalam mengubat beberapa penyakit yang dialami dan berjaya sembuh dikongsikan dalam buku tersebut. Penterjemahan yang telah dibuat dalam buku ini menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami serta senang diterima pembaca.

Ada beberapa bab dalam buku ini mengulas dan menerangkan apa kebaikan sesetengah buah-buahan dan sayur-sayuran. Bukan itu sahaja, ia disertakan dengan cara-cara menggunakan bahan mentah tersebut untuk merawat sesuatu penyakit. Ia termasuklah berapa dos yang diperlukan dalam penggunaan untuk merawat penyakit tersebut. Bahan mentah yang dimaksudkan di sini ialah seperti lidah buaya atau aloe vera, buluh (termasuk daun buluh), epal, sayuran jenis kekacang, lobak merah, ovacado dan banyak lagi.

Contohnya, buah epal. Ada ketikanya, jus epal boleh menjadikan kanak-kanak cirit-birit. Namun, apabila epal dikupas dan dipotong kecil-kecil, kemudian dibiarkan di tempat terbuka. Apabila ia sudah berubah warna menjadi coklat, ia bagus untuk melegakan cirit-birit yang ringan. Namun begitu, pada asasnya, epal membantu dalam mengurangkan kadar kolestrol, dan mengurangkan risiko penyakit kanser. Selain itu, ia tinggi serat, mengelakkan sembelit dan apabila mengamalkannya, dapat menahan selera makan.

Banyak lagi bahan mentah lain yang dihuraikan dalam buku ini, termasuklah penerangan secara terperinci tentang bahan mentah popular masa kini, iaitu Habatussaudah atau nama lainnya, Biji Jintan Hitam. Apa itu Biji Jintan Hitam, dan sejarahnya.

Selain itu juga, dalam buku ini ada diterangkan panduan untuk rawatan ruqyah.

Apa itu ruqyah? Dalam Islam, ruqyah adalah singkatan daripada perkataan ruqyah shari’ah. Ini adalah amalan Nabi Muhammad s.a.w dan orang  lain boleh mengamalkan ruqyah berdasarkan beberapa hadith shahih. Secara ringkasnya, ruqyah adalah pembacaan ayat-ayat Al-Quran ataupun berdoa kepada Allah s.w.t bagi menyembuhkan penyakit orang lain ataupun penyakit sendiri. (Oleh Jerry D. Gray dalam Rasulullah is my DOCTOR)

Berikut pula adalah salah satu keratan tulisan Jerry D. Gray yang menyebabkan saya benar-benar tersentuh.

Di sini saya coretkan sedikit mengenai penulis buku tersebut. Jerry D. Gray atau nama penuhnya Jerry Duane Gray merupakan anak kelahiran Weisbaden, Jerman. Kini beliau telah memeluk Islam dan aktif menjalankan aktiviti dakwah. Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di sebuah stesyen televisyen di Indonesia selama dua tahun.

Tidak rugi jika anda membeli buku ini. Saya sarankan anda belilah buku ini. Jika boleh, memang saya mahu menulis tentang buku ini dengan panjang lebar lagi, tapi adalah lebih baik jika anda nikmati sendiri isi-isi ilmiah dalam buku ini.

Sampai jumpa lagi.