L’oreal Paris, Nanowhite, Safi Balqis Perfect 10

Teks: Azlina Zabha
Muka berminyak, berjerawat dan parut di muka akibat jerawat. Tiga faktor ini merupakan ciri-ciri kulit muka saya. Apabila saya memilih produk penjagaan wajah, saya akan peka dengan setiap perubahan yang berlaku selepas suatu tempoh saya menggunakannya.

Di sinilah pertemuan saya dengan L’Oreal White Perfect Transparent Rosy, NanoWhite, dan Safi Balqis Perfect 10. Sebenarnya memang saya tidak sabar untuk berkongsi pengalaman saya menggunakan ketiga-tiga produk tersebut. Masing-masing ada kebaikan yang tersendiri.

Safi Balqis Perfect 10
Ia halal. Setelah dua minggu saya menggunakannya, kulit muka saya sudah bertukar menjadi cerah. Suami nampak sendiri perubahannya. Bekas jerawat juga semakin pudar. Tapi jodoh saya dengan produk ini tidak panjang. Blackhead di hidung tiba-tiba timbul. Tanda-tanda jerawat besar akan timbul di bahagian tepi hidung yang berdekatan dengan bawah mata. Saya jadi sangat risau sebab sebelum ini saya memang tiada blackhead. Jadi, maafkan saya Safi Balqis Perfect 10. Hubungan kita setakat dua minggu ini sahaja. Selamat tinggal.

Nanowhite
Produk ini dari Negara Jepun, tapi ia halal. Tiga bulan saya menggunakan produk ini. Lama juga tempoh saya menggunakan produk ini. Jerawat mudah timbul, tapi yang menariknya, ia juga mudah hilang. Apabila saya menggunakan toner, kesan kotor yang melekat di wajah mudah tertanggal. Tetapi, warna gelap bekas jerawat tubuh tidak hilang-hilang walau saya sudah menggunakannnya selama tiga bulan. Jadi, saya terpaksa mencari produk lain.

L’Oreal White Perfect Transparent Rosy
Saya terpaksa kembali menggunakan produk ini. Dulu memang saya setia dengan produk ini, iaitu sejak umur saya 19 tahun (2003). Sekarang umur saya sudah 29 tahun (2013). Saya berhenti sekejap menggunakannya bulan Julai 2013 yang lalu kerana tiba-tiba muka saya naik jerawat mendadak banyaknya. Mungkin saya yang salah sangka dengan produk tersebut. Kebetulan pada masa yang sama, saya dan keluarga sedang sibuk mengemas rumah untuk berpindah. Mungkin sebab habuk, muka saya berjerawat. Kebaikan menggunakan produk ini, muka saya bebas blackhead, dan kesan jerawat akan hilang dalam masa satu minggu.

Tentang status halal produk ini, memang ia tiada label halal. Namun, saya ada buat beberapa rujukan. Rujukan yang menyebabkan saya yakin untuk menggunakan produk ini, ialah menerusi laman Muslim Consumer Group . Dalam web tersebut mengatakan, selagi ia tiada kandungan Cochineal, ia adalah halal.

Ulasan tentang produk penjagaan muka di atas, adalah berdasarkan pandangan peribadi serta mengikut kesesuaian kulit muka saya. Mungkin ada sesetengan produk, tidak sesuai dengan kulit muka saya, tapi sesuai dengan kulit muka anda. Jadi tidak perlu risau, teruskan penggunaan produk yang anda sedang gunakan jika ia sesuai dengan kulit muka anda.

Mencipta Label Baru

Teks: Azlina Zabha

Hari ini saya terpanggil untuk menambah label di blog saya. Saya kategorikan label-label terkini ini dengan Kategori Ulasan. Buat masa ini, saya hanya membuat beberapa label yang terlintas dalam fikiran pada waktu ini.

Label-label ini diwujudkan atas dasar minat saya yang suka mengulas setiap benda yang saya pernah gunakan. Saya akan mengulas sejujurnya. InsyaAllah.
Semoga ia boleh jadi panduan kepada pengguna-pengguna yang lain. Kemungkinan besar saya bukan sahaja akan mengulas tentang sesuatu produk, saya suka juga untuk berkongsi rasa dengan pembaca blog saya jika saya makan di kedai-kedai makan yang sedap-sedap.
Tak sabar untuk saya berkongsi dengan pembaca semua tentang apa jua produk yang saya gunakan. Sampai jumpa lagi. 🙂

Saringan 2 LINUS Literasi BM

Teks: Azlina Zabha
Gambar: Azlina Zabha

Kelas 1 Cemerlang sudah kosong. Sepi. Sememangnya 1.05 petang ialah waktu yang ditetapkan untuk murid-murid Tahap 1 tamat sesi persekolahan mereka pada hari ini.

Waktu ini, saya yakin mana-mana guru sekolah rendah giat menjalankan Literasi Lisan dan Menulis Saringan 2. Saringan pertama telah dijalankan beberapa bulan yang lalu. Mungkin masih ada yang tertanya-tanya apa itu Program LINUS.

Secara ringkasnya, ia merupakan program untuk guru-guru mengenali anak murid mereka dengan lebih dekat lagi daripada sudut kelancaran menulis dan membaca. Program ini menjadikan guru lebih peka terhadap anak murid mereka. Contoh, murid 1,  boleh membaca daripada konstruk 1 (mengenal huruf) sehingga Konstruk 9 (perkataan seperti sungai, kunyit, bangau). Murid 2 pula menguasai kesemua konstruk iaitu konstruk 1 hingga 12. Mungkin tanpa Program LINUS ini, sukar untuk guru-guru mengenalpasti kelemahan anak nurid mereka secara tepat. Murid pula ada pelbagai kategori. Ada yang boleh menulis dengan baik, tetapi masih lemah dalam lisan (membaca).

Saya mengajar  kelas yang kedua, dan kelas yang terakhir. Saya amat risau dengan pencapaian mereka khususnya kelas yang terakhir. Tahun ini merupakan tahun pertama saya mengajar murid kelas hujung. Suatu pengalaman yang sangat mencabar. Kali pertama juga saya berjumpa dengan murid-murid yang belum mengenal huruf dan ada juga yang lemah dalam memegang pensel. Namun, setelah dijalankan Saringan 2 ini, saya bersyukur sangat kerana ada peningkatan yang baik berbanding Saringan 1.

Guru mana yang tidak gembira atas kejayaan anak muridnya. Walau sebesar zarah kejayaan anak muridnya, ia tetap melegakan hati seorang guru. Itulah anugerah paling berharga buat diri seorang guru

Tips untuk semua ibu bapa yang akan memasukkan anaknya ke Tahun 1, cuba berjumpa dengan guru Bahasa Malaysia & Matematik sekolah Tahun 1,  tentang LINUS. Cuba dapatkan set contoh konstruk yang perlu dikuasai oleh anak kalian. Latih tubi yang dijalankan oleh ibu bapa di rumah adalah sangat dioerlukan dan membantu tahap penguasaan membaca, menulis & mengira anak-anak anda. Mungkin ibu bapa boleh dapatkannya di mana-mana lamab web juga.

Target Program LINUS ialah pada Tahun 4, murid-murid mesti sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Semoga anak-anak kita dapat menguasai keseluruhan konstruk tanpa tersekat di mana-mana konstruk. Amiin Ya Robb.

Anak Angkat LINUS

Teks: Azlina Zabha
Foto: Azlina Zabha
Hari Isnin, sinonim dengan hari perhimpunan bagi setiap minggu persekolahan. Pagi tadi, sekolah saya mengadakan perhimpunan pagi. 
Secara rutinnya, ia dimulai dengan bacaan doa oleh pengawas yang bertugas, nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Melaka, dan Lagu Bacalah (tema lagu sekolah). Kami dikehendaki berdiri bersama-sama murid untuk turut menyanyikan lagu tersebut. Sejurus kemudian, kami mengangkat tangan di bahu, dan berikrar (sebagai rakyat Malaysia). Bila ikrar pelajar dilaungkan oleh pengawas, kami guru-guru duduk. 
Waktu ini, kami sama-sama memerhatikan murid-murid kami. Kebetulan murid kelas saya betul- betul di hadapan saya. Saya perlu berwajah serius di hadapan mereka, supaya mereka tahu bahawa kita perlu beri perhatian dan tidak bermain-main pada waktu perhimpunan.
Selepas perkara rutin tadi selesai, wakil guru bertugas pada minggu lepas akan memberikan ucapan. Pelbagai peringatan dan nasihat diberikan. Saya mendengar ucapan rakan saya. Kaedah reverse psychology digunakan. Pedas dan tegas nadanya. 
Habis sahaja wakil bertugas berucap, tiba giliran Ketua Panitia Bahasa Melayu pula berucap. Beliau memberitahu bahawa Jawatankuasa LINUS ada membuat Program Sinaran yang melibatkan semua guru Bahasa Malaysia. Setiap guru BM tersebut dijadikan Mentor kepada setiap murid LINUS Literasi (BM) dari Tahun 2 Arif, 2 Dedikasi dan 3 Dedikasi. 
Pencapaian kebanyakan daripada murid tersebut adalah berada di Konstruk 3 hingga Konstruk 10. Ini adalah hasil daripada Saringan 1 yang telah dijalankan beberapa bulan yang lalu. Secara ringkasnya, Program Sinaran diwujudkan sebagai program sokongan untuk mengatasi masalah murid yang tidak menguasai kontsruk 3 hingga 12.
Alhamdulillah, saya diberi tanggungjawab untuk memastikan anak angkat saya (tidak perlu saya nyatakan namanya di sini) dari Kelas 2 Arif untuk mencapai tahap menguasai kesemua konstruk. Semoga anak angkat saya dapat membaca dan menulis dengan baik selepas ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa itu LINUS, apa itu konstruk, bukan? 
Secara umumnya, Program LINUS dijalankan untuk murid Tahap 1, bagi memastikan semua murid boleh menulis dan membaca ( bagi LINUS LITERASI BM). Dengan adanya Program LINUS ini, kita sebagai guru BM (Literasi), Matematik (Numerasi), dan LINUS 2.0 (BI) lebih mengenali tahap anak murid kita. Sama ada dia sudah mengenal huruf atau tidak, sudah boleh mengeja dan menulis suku kata terbuka dan tertutup atau tidak, digraf, diftong, susun ayat dan bina ayat. 
Nanti saya akan tuliskan entri tentang konstruk-konstruk di dalam LINUS BM. 
Walaubagaimanapun, kerjasama ibu bapa amat kami harapkan bagi menjayakan Program LINUS ini. Sokongan daripada ibu bapa akan menjadikan anak lebih mudah dapat apa yang dipelajari.
Sampai di sini sahaja coretan saya buat masa ini. Salam ramadhan semua.

Syampu Elak Rambut Gugur

Teks : Azlina Zabha
Rambut gugur. Tiada siapa pun suka perkara ini terjadi pada diri mereka, tidak kiralah kamu seorang lelaki mahupun seorang wanita.

Selebat mana pun rambut kamu, mesti kamu tetap tidak mahu ia gugur. Jika ia tidak dibendung, mungkin boleh jadi botak sana dan sini di kepala. Ini yang saya bimbangkan.

Sebelum ini saya mengalami masalah yang sama. Namun masa tu, saya tahu puncanya, iaitu saya selalu mengamalkan makan mi segera. Jadi saya berhenti makan makanan tersebut, dan menukar syampu kepada jenama Hair n Shoulder – Anti Hairfall. Alhamdulillah, rambut saya terus berhenti gugur.

Tapi itu adalah cerita dua tahun  yang lepas, akhir tahun 2011; iaitu selepas melahirkan anak. Pada masa itu, saya tinggal dengan Fatimah & Kak Diana. Hidup berjauhan dengan suami masa itu. Jadi saya makan sahaja apa yang murah dan mudah disediakan.

Namun sekarang, masalah rambut gugur itu kembali lagi. Sekarang lagi hebat. Saya tak tahu apa puncanya. Hampir sebulan lebih saya mengalami masalah ini. Benar-benar buat saya tidak puas hati. Adakah sebab saya tukar jenis syampu, iaitu Syampu CLEAR – Anti Hairfall?

Tapi saya sudahpun tukar kepada Head N Shoulder – Anti Hairfall; saya gandingkan dengan perapi (conditioner) sekali. Tapi ia tetap gugur dan makin hebat.

Saya tukar lagi syampu saya kepada jenama Sunsilk – Anti Hairfall. Tetap sama. Ia tetap tidak berhenti gugur. Sabar je lah.

Mungkin saya perlu cuba Pantene – Anti Hairfall. Atau Rejoice? Oh tidak. Rambut saya tak serasi dengan Rejoice sebab ia akan membuatkan rambut saya kering dan berkelemumur.

Hmmm… L’oreal Paris? The Herbs? Himalaya?

Adakah saya patut guna cara tradisional? Santan letak dirambut dan biarkan seketika, kemudian bilas. Cara lain, gunakan aloe vera. Minyak zaitun?

Ok. Buntu sekejap. Ada sesiapa yang boleh berikan saranan?

Nenek Semakin Lemah

Teks: Azlina Zabha
Semalam dapat berita dari Batu Pahat, keadaan nenek makin lemah. Kami sekeluarga bergegas balik ke kampung.
Kami bertolak dari Melaka pada pukul 5.15petang. Saya teringatkan nenek suka makan ayam KFC. Sesampai sahaja di Batu Pahat, kami terus pergi KFC dan beli Burrel Spicy Chicken (21 ketul). Sengaja beli lebih, sebab tak tahu ada berapa orang di rumah nenek nanti.
Tiba di rumah, saya terus buka pintu, dan terus mendapatkan nenek. Saya salam nenek. Tangan nenek panas. Saya bertanyakan padanya, “Atuk demam ke? Panas badan atuk ni,”. Nenek jawab, “Entahlah… memang macam ni.”
Dia menjawab sambil memejamkan mata….
Pada malamnya, kami adik beradik termasuk suami, cuba mengangkat badan nenek supaya dia lebih selesa baring. Sentuh badannya pun dia rasa sakit yang amat. Sekarang nenek dah tak boleh bangun sendiri langsung. Terbaring sahaja. Emak yang suapkan bubur untuk nenek. Dua tiga hari ni, dia banyak tidur.
Kami sebak melihat keadaannya. Saya dan suami balik ke Melaka malam tadi juga, kerana kami bekerja hari ini.
Sepanjang hari di sekolah, saya asyik teringatkannya. Semalam tak sempat nak minta maaf. Rasa kelu betul lidah. Harap sempat jumpa nenek lagi.
Agaknya, bila kita dah tua nanti, siapa yang akan menjaga kita? Bagaimana keadaan kita? Sihat walafiatkah kita?
Umur nenek 85tahun. Dia prihatin orangnya semasa dia sihat. Tidak pernah tinggal minum susu, rajin solat dan baca al-quran. Suka membaca majalah-majalah ilmu. Dia juga suka menulis diari sampaikan dia selalu gertak kami, jika kami nakal, dia akan menulisnya dan mengadu kepada pakcik kami (satu-satunya anak lelaki nenek). Dia juga guru mengaji kami adik-beradik. Dia juga ajar kami supaya berjimat cermat. Dia sayang kami. Dia…sakit sekarang..
Ya Allah.. ampunilah dosanya.. dosa kami.. permudahkanlah jalan baginya.. jalan kami… sihatkanlah dirinya..diri kami..
***Updated!!!***
Alhamdulillah, nenek sudah boleh bercakap. Kami sekeluarga lega mendengar berita ini. Kak Linda memberi saranan agar beri nenek minum Ensure Plus. Nenek diberi minum Ensure Plus berperisa coklat.
Kami berharap agar nenek terus beransur sihat dari semasa ke semasa.  Amiiin.

Puding Roti Kukus

Teks: Azlina Zabha
Foto : Azlina Zabha

Sebenarnya ini baru kali ke empat saya membuat Puding Roti Kukus. Kali ini, saya tukarkan kismis dengan kurma. Rasa macam tak berapa kena sebab pudingnya dah manis, ditambah dengan kurma yang sangat manis. Tapi, bolehlah… Saya mengulang-ulang makan puding ni. Berhari-hari. Sampailah tiba malam tadi, lupa nak masuk peti ais sebab terlampau mengantuk.

Bila pagi tadi, tengok puding roti ni masih berbaki, saya jadi sedih. Haih. Takpelah. Just let it go.

Petang ni nak buat lagi, kali ni nak campurkan dengan Krimer Jagung pula. Guru Pembimbing saya, Puan Eshah kata sedap jika tambahkan bahan ni. InsyaAllah petang ni saya buat.

Resepi? Nanti saya kongsikan dengan kalian ye. Senang je. Lebih kurang sama dengan apa yang kamu semua cari di enjin pencarian.

***Updated!!***

Resepi Puding Roti Kukus

Bahan-bahan
1 tin susu cair
3 sudu susu pekat manis
4 sudu gula
1 sudu kecil cecair perisa Vanilla
4 keping roti (setiap satu dipotong empat)
2 biji telur
2 sudu mentega
Sedikit kismis (pilihan)
5 sudu krimer jagung (pilihan – p/s: saya belum cuba lagi letak jagung ni)

Cara-cara
1. Kacau telur dan gula. Campurkan susu cair, susu pekat manis, jagung dan perisa vanilla. Kacau hingga sebati.
2. Sapukan loyang dengan mentega.
3. Sapukan mentega selebihnya pada permukaan roti yang telah dipotong. Susunkan di dalam loyang.
4. Tuangkan campuran (1) tadi ke atas roti yang telah disusun di dalam loyang tadi.
5. Taburkan kismis.
6. Kukus sehingga 45minit.

Selamat mencuba!

Zikrullah Tenangkan Hati

Teks : Azlina Binti Zabha
Foto : Azlina Binti Zabha

 

Sekarang ni adalah waktu rehat untuk murid-murid sekolah saya. Rehat untuk murid Tahap 1 ialah pada pukul 9.40 pagi hingga 10.05 pagi. Manakala murid Tahap 2 waktu rehatnya pada pukul 10.05 pagi hingga 10.35 pagi.
 

Setiap kali bulan Ramadhan tiba, murid-murid tetap pergi ke kantin. Tetapi aktiviti makan dan minum dibekukan dan diganti pula dengan berzikir beramai-ramai. Bergema bunyinya hingga ke kelas saya. Kebetulan kelas berdekatan dengan kantin.
 
Sayup-sayup kedengaran mereka semua melaungkan zikir. Murid yang suci dan tiada dosa. Rasa tenang walau hanya mendengarnya. Kadang-kadang rasa sebak pun ada.

Tukar Timing Belt

Teks : Azlina Binti Zabha
 
 
 
Hari ini saya bercadang untuk  servis MB kesayangan saya. Kali ni saya betul-betul lewat servis kereta. Kilometer sepatutnya 57069km. Tapi sekarang dah 58384km.
Selesai sahaja waktu persekolahan, saya terus ke GT ONE AUTOCARE SDN BHD (berhampiran Taman Merdeka) Proton Service Center. Tiba di kaunter, saya dilayan baik oleh pekerja di situ.
“Puan hantar servis di mana sebelum ni, puan?”
“Ming Hong Motor Batu Pahat,”
“Aik, kilometer dah 55k lebih ni,”
“Ha ah. Saya selalu bawa jauh kereta ni. Berulang Batu Pahat – Melaka masa suami saya belum dapat kerja di sini. Setiap minggu saya balik Batu Pahat,”
Haa.. panjang lebar saya terangkan. Dia tak tanya pun kenapa. Huuu.
“Ok puan, bila dah hampir 60000km ni, timing belt kena tukar ni. Minyak gear dah tukar? Spark plug?”
“Haaaaa?? ”
Nampak sangatlah saya tak berapa tahu sangat hal kereta ni. Kali terakhir saya servis kereta, major service. Suami saya yang uruskan.
“Kejap, saya call suami saya. Dia yang uruskan haritu,” keluar peluh gajah. Panik kejap. Selepas saya telefon suami, saya telefon pula pihak Ming Hong Motor untuk minta penerangan tentang major service yang telah dibuat pada 5 Disember 2012.
Lain semuanya dah tukar. Tinggal timing belt sahaja belum tukar. Dia buat price quotation dan booking mechanic untuk hari Sabtu hujung minggu ni.
Tengok price, ternganga sekejap. Harga penukaran Timing Belt Savvy dan segala perkakasan yang diperlukan, menjangkau RM1030. Campur servis, dalam RM1230. Oh My Golf!
T_T pasrah. Manalah saya tahu. Ingatkan minor servis je. Sekali tu dah sampai masanya kena tukar timing belt. Suami cakap, penting tu kena tukar. Bahaya kalau tak tukar.
T_T lagi sekali muka pasrah. Telan air liur dua tiga kali.
Ingat ye semua, bila kilometer kereta kita sudah menjangkau 60000km, kita perlu sediakan sejumlah duit untuk penukaran timing belt.
Baiklah. Sampai di sini sahaja. Dah sampai waktu berbuka ni. Selamat berbuka semua~

Cara Fikir Positif

Teks : Azlina Zabha

Apa kata pagi ni kita mulakan hari kita dengan gambaran mental yang baik-baik sahaja. Gambarkan sesuatu yang seronok dan menggembirakan bakal berlaku, gambarkan apa yang diusahakan mencapai kejayaan, dan gambarkan perkara yang sangat sukar kita lalui hari-hari menjadi sangat mudah bagi kita.

Jika kita menggambarkan perkara yang tak berapa baik, ia akan mengongkong diri kita sendiri. Padahal tidaklah seteruk yang kita gambarkan atau sangkakan. Buat penat akal fikiran kita je kan?

Jadi, tarik nafas. Gambarkan sesuatu yang positif. Senyum. 🙂

(Input daripada Motivasi Pagi TV3, Jumaat, 12 Julai 2013)